CelcomDigi mula proses sepadu tapak rangkaian

Estimate Reading Time: 2 minutes

PETALING JAYA: CelcomDigi Bhd telah memulakan program berskala penuhnya bagi menyepadukan dan memodenkan rangkaian 4G dengan teknologi LTE dan sedia 5G terkini.

-Advertisement-

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Idham Nawawi, berkata menerusi program itu, CelcomDigi akan meningkatkan bilangan tapaknya kepada sehingga 18,000 tapak dalam tempoh tiga tahun berbanding 12,000 tapak ketika ini.

Katanya, rangkaian baharu yang bersepadu dan dipermoden itu merealisasikan kelebihan dan kekuatan penggabungan antara Celcom dan Digi.

“Kami teruja untuk memulakan projek ini bagi negara, untuk membina rangkaian digital yang paling besar dan moden dengan menggunakan teknologi telekomunikasi mudah alih yang terkini.

“Kami telah berjaya melancarkan projek rintis di lima kluster baru-baru ini, iaitu di Sitiawan, Rawang, Bercham, Port Dickson dan Kuantan, dan kami berbesar hati melaporkan bahawa usaha naik taraf berkenaan telah diuruskan tanpa sebarang gangguan terhadap pengalaman pelanggan.

“Kami komited untuk membina rangkaian yang lebih pantas dan kukuh bagi menawarkan rakyat Malaysia pengalaman digital tiada bandingan, yang berlandaskan piawaian kesalinghubungan, kelajuan, kebolehpercayaan dan kestabilan yang tinggi,” katanya pada taklimat media di sini, hari ini.

Yang turut hadir Timbalan CEOnya, Albern Murty.

Mengulas lanjut Idham berkata, CelcomDigi akan mengintegrasi dan memodenkan rangkaian mengikut kluster, dengan menumpukan aktiviti kepada usaha perluasan liputan dan kapasiti, menaik taraf tapak dengan teknologi terkini 4G dan 5G seperti Multiple-Input Multiple-Output (MIMO) dan Unit Jarak Jauh Radio (RRU) berbilang jalur, di samping mengemas tapak-tapaknya bagi menghapuskan pertindihan.

-Advertisement-

Katanya, malah ia akan memaksimumkan portfolio spektrumnya bagi mewujudkan rangkaian berbilang lapisan dan berbilang jalur, yang merangkumi penggunaan spektrum 900Mhz di seluruh negara di semua tapak untuk meningkatkan liputan dan mutu perkhidmatan dalam ruang tertutup.

“Rangkaian baharu ini juga direka bentuk supaya mampu beralih secara lancar ke rangkaian 5G baharu dengan capaian 18,000 tapak – infrastruktur yang betul untuk membimbing Malaysia ke era kelajuan ultra tinggi, kependaman rendah dan pelbagai peluang dalam satu masa depan yang lebih tersambung.

“Ini adalah satu perkembangan penting untuk CelcomDigi dan negara, dan kami amat gembira untuk menjadi peneraju yang merealisasikan potensi masa depan digital kita yang dikongsi bersama,” katanya.

Tambahnya, apabila siap kelak, rangkaian berkenaan akan menawarkan pelanggan mutu pengalaman yang jelas dipertingkatkan hampir di mana-mana sahaja di seluruh negara, dengan meningkatkan capaian daripada 96 peratus kepada 98 peratus rakyat Malaysia di seluruh negara.

Dalam pada itu Idham berkata, pihaknya menyerahkan kepada kerajaan dalam memutuskan siapakah yang akan dipilih sebagai entiti A dan entiti B dalam mengendalikan perkhidmatan 5G dalam negara.

“Kami secara aktif mengambil bahagian dalam perbincangan dengan kerajaan dan pemain industri lain yang berminat dalam perkara ini. Namun berkenaan entiti A dan entiti B terpulang kepada kerajaan dalam melaksanakan proses bagi menentukan siapakah individu atau entiti terbaik untuk mengambil alih kedua-dua entiti ini.

“Sementara itu kami terus bekerja dengan kerajaan dalam perkara ini,” katanya.

-Berita Harian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427