Cecair rokok elektronik RM2.73 juta disita

Estimate Reading Time: < 1 minute

Pelabuhan Klang: Dua kontena bermuatan 1276.24 liter cecair rokok elektronik yang dianggarkan bernilai RM2.73 juta disita Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Unit III di Pelabuhan Barat dekat sini, 24 Jun lalu.

-Advertisement-

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Datuk Zazuli Johan berkata, pemeriksaan pada 6 petang itu mendapati barang dagangan dari Amerika Syarikat itu diikrarkan sebagai ‘atomizer devices’ (alat pengabus).

“Hasil pemeriksaan terhadap dua kontena berkenaan mendapati terdapat 1276.24 liter cecair rokok elektronik yang dianggarkan bernilai RM2.73 juta dengan nilai cukai berjumlah RM273,480.

“Cecair itu juga didapati sudah melepasi tarikh luput dan berbahaya untuk digunakan malah menerusi siasatan kita mendapati ia mengandungi nikotin.

-Advertisement-

“Kita mengesyaki dan percaya dagangan ini akan dibungkus semula dan dijual di pasaran tempatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, dagangan berkenaan dibawa masuk tanpa lesen import dan tanpa membayar cukai serta duti.

Katanya, cecair rokok elektronik adalah barangan larangan import mengikut Butiran 4, Jadual Kedua, Bahagian I Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.

“Kes ini sedang disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967. Jika sabit kesalahan, mahkamah boleh mengenakan hukuman denda tidak kurang daripada sepuluh kali nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih dari dua puluh kali ganda nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar, atau dipenjarakan tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.-METRO


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427