CapitaLand Malaysia Trust beli tiga hartanah industri di Johor berharga RM72 juta

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: CapitaLand Malaysia Trust (CLMT) menandatangani perjanjian untuk memperoleh tiga hartanah perindustrian pegangan bebas di Johor daripada anak syarikat Gromutual Bhd, Rainbow Entity Sdn Bhd (RESB) pada harga tunai RM72 juta.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, CLMT berkata hartanah berkenaan terletak dalam kawasan Senai Airport City (SAC), iaitu hab perindustrian dan pembuatan moden di wilayah Senai dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS SEZ).

Ia berkata, bangunan dan kilang di kawasan itu, kini sedang dibina oleh RESB, dan dijadualkan siap pada suku pertama 2025.

CLMT berkata, ia juga akan menandatangani pajakan tujuh tahun dengan penyewa untuk salah satu daripada tiga hartanah itu, yang terkandung ‘peningkatan sewa’ untuk memastikan pendapatan yang stabil.

“Apabila dipajak sepenuhnya, ketiga-tiga hartanah itu dijangka menjana sewa kasar tahunan sebanyak RM5.1 juta, dengan 7.1 peratus hasil pada tahun pertama, yang memberi kesan positif kepada pendapatan CLMT,” tambahnya.

Ketua Pegawai Eksekutif CapitaLand Malaysia REIT Management Sdn Bhd, iaitu pengurus CLMT, Yong Su-Lin, berkata pemerolehan tiga hartanah perindustrian pegangan bebas di wilayah Senai, Skudai menandakan penerokaan kedua CLMT ke dalam sektor perindustrian di Johor, yang sedang membangun menjadi hab pembuatan yang penting.

“Sejak enam bulan lalu, kami telah melihat minat untuk pajakan yang kukuh bagi aset-aset perindustrian di Johor. Tiga aset perindustrian awal yang kami peroleh di Nusajaya Tech Park telah dipajak sepenuhnya dan kami kini berada di peringkat akhir untuk mendapatkan pajakan penyewa tunggal bagi salah satu hartanah dalam pemerolehan terbaharu kami.

“Pemerolehan ini adalah kesinambungan kepada usaha penciptaan nilai kami untuk meremajakan portfolio CLMT dengan aset-aset berkualiti baik yang mempunyai potensi bagi pertumbuhan jangka panjang serta kestabilan pendapatan dan kepelbagaian,” tambahnya.

-BERNAMA

-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5464