Kehidupan berkeluarga menurut ajaran Islam adalah dibina atas dasar ketenangan (sakinah), kasih sayang (mawaddah) dan hormat menghormati (rahmah).
Ia sama sekali menolak cara hidup berkeluarga mengutamakan maslahah bersifat kebendaan (maddiyyah) dan kepentingan peribadi (ithar).
Firman Allah dalam soal perkahwinan dijelaskan pada Surah an-Nahl, ayat 72 bermaksud: “Dan Allah menjadikan bagi kamu dari diri kamu sendiri pasangan (isteri), dan dijadikan bagi kamu pasangan kamu – anak-anak dan cucu-cicit, serta dikurniakan kepada kamu benda baik lagi halal; maka patutkah mereka (yang ingkar itu) percaya kepada perkara salah (penyembahan berhala), dan mereka kufur (mengingkari) pula nikmat Allah?”
Pada masa sama, Islam menetapkan hak tertentu ke atas setiap individu dalam sebuah keluarga yang mana hak itu bukan sahaja perlu ditunaikan sebagai satu tanggungjawab bahkan menjadi taklifan bersifat syarie akan dihisab pada hari perhitungan.
Melaksanakan hak berkenaan adalah suatu tanggungjawab sementara mengabaikan tuntutan itu dianggap pelanggaran terhadap hukum syarak.
Sebab itulah, setiap pasangan dituntut memahami dan menghayati hak individu dalam rumah tangga sebelum memasuki gerbang perkahwinan bagi menjamin rumah tangga harmoni sesuai matlamatnya menurut syariat Islam.
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: :Apabila seorang hamba berkahwin, maka sesungguhnya dia berusaha menyempurnakan sebahagian agamanya, oleh itu hendaklah dia bertaqwa kepada Allah pada sebahagian lagi berbaki”. (HR Baihaqi dan Tabrani)
Dalam hal ini, golongan fuqaha dengan kelayakan istinbat dalil al-Quran dan al-Hadis serta keupayaan ijtihad mereka dalam hukum-hakam mengambil tanggungjawab mengkaji serta menganalisis dalil berkait dengan hak setiap individu dalam keluarga Islam.
Mereka juga memaksimum upaya akal mereka untuk berijtihad dalam kes tidak dinaskan secara jelas dalam al-Quran dan hadis. Hasilnya, mereka mengabadikan hak dan hukum-hakam keluarga Islam dalam karya masing-masing dianggap sebagai ketetapan hukum fiqh dalam bab kekeluargaan Islam.
Apabila berlakunya masalah rumah tangga berkaitan hak dan hukum-hakam keluarga Islam, maka ketetapan hukum fiqh ditulis fuqaha akan menjadi rujukan untuk tujuan menyelesaikan masalah itu.
bagaimanapun, timbul masalah apabila ada pasangan mencampuradukkan antara tuntutan kehidupan berkeluarga dalam Islam yang sepatutnya dijadikan pegangan dalam melayari bahtera rumah tangga dengan ketetapan hukum fiqh diputuskan fuqaha.
Campur aduk seperti ini adalah salah dari sudut syarak bahkan ia dikeji. Ia membawa kesan negatif kepada sebuah keluarga Islam dan juga menjadi antara faktor terbesar keruntuhan atau pembubaran sebuah ikatan rumah tangga.
Ini dibuktikan dengan perakuan mereka terbabit dalam kes keluarga Islam di Mahkamah Syariah khususnya peguam syarie, hakim dan kaunselor bahawa di antara punca keretakan atau pembubaran sebuah rumah tangga Islam ialah mencampuradukkan antara kedua perkara ini.
Ketetapan hukum fiqh dibawa masuk dalam kehidupan keluarga Islam adalah seperti isteri meminta suami memberi nafkah dengan alasan memberi nafkah itu hukumnya wajib, isteri meminta upah menyusukan anak dengan alasan suami wajib membayar upah isteri menyusu.
Ada isteri enggan atau tidak melakukan kerja rumah dengan alasan khidmat kepada suami di rumah seperti memasak dan mengemas hukumnya hanyalah sunat, suami memaksa isteri melayannya dengan alasan melayan suami adalah wajib, suami tidak mengizinkan isteri keluar rumah dengan alasan taat kepada suami adalah wajib dan banyak lagi bersifat maslahah maddiyyah dan peribadi.
Tindakan sebegini menafikan maksud sebenar kepada kehidupan berkeluarga dalam Islam. Tidak dapat dibayangkan suasana sebuah keluarga seperti ini melalui hari-harinya pasti penuh dengan syak wasangka, ketidakpercayaan, hilangnya kasih sayang, luput rasa hormat kepada pasangan.
Oleh itu, setiap individu dalam keluarga Islam haruslah mengetahui hak perlu mereka tunaikan kepada pasangannya dan mengutamakan tuntutan sebenar kepada sebuah kehidupan rumah tangga dalam Islam iaitu sakinah, mawaddah dan rahmah.
Pada masa sama, mereka tidak mencampuradukkan tuntutan itu dengan ketetapan hukum fiqh sebagaimana diputuskan fuqaha. Ini bermakna, seorang isteri harus mengutamakan keharmonian dan kasih sayang dalam rumah tangga dan tidak perlu meminta suaminya memberikan nafkah atau upah menyusu beralaskan hukum fiqh.
Mereka juga mesti menumpahkan khidmat kepada suami dengan penuh ikhlas dan kasih sayang tanpa mengira hukumnya. Begitu juga suami perlu menjaga hubungan baik dengan pasangannya tanpa menjadikan hukum fiqh sebagai alasan untuk dilayani isteri atau untuk mengugut isteri supaya tidak keluar rumah atau melakukan sesuatu perkara tidak disukainya termasuk poligami dengan alasan sunah Nabi SAW.
Ketetapan hukum fiqh berkait keluarga Islam ditulis dalam karya fuqaha diguna pakai untuk meleraikan perbalahan dan menyuraikan permusuhan di mahkamah sahaja, bukan untuk diamalkan dalam kehidupan berkeluarga, bahkan tidak boleh dibawa masuk ke dalam kehidupan berumahtangga sama sekali.
Suami perlu berpegang kepada hadis Rasulullah SAW bermaksud: “Sebaik-baik kalian adalah baik kepada ahli keluarganya dan aku ialah terbaik dalam melayan ahli keluargaku”. (HR Ibn Majah dan Tirmizi)
Penulis ialah Pensyarah Kanan, Program Pendidikan Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya
-BeritaHarian