Calon SPM didakwa rompak seorang barista

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Selayang di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan rompak berkumpulan terhadap seorang barista (pembuat kopi) di sebuah perhentian bas, bulan lalu.

-Advertisement-

Pelajar lelaki berusia 17 tahun itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Nur Hafizah Rajuni.

Dia yang dijangka menduduki peperiksaan SPM pada 22 Februari ini, didakwa bersama seorang yang masih bebas melakukan rompakan berkumpulan terhadap Muhammad Haris Mohamad Fauzi, 19, dengan mengambil telefon pintar dan beg galas yang mengandungi barangan peribadi mangsa di Hentian Bas Ekspres, Greenwood, dekat sini, pada jam 6.36 pagi, 20 Jan lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

-Advertisement-

Timbalan Pendakwa Raya Nur Intan Syakieraah Zakaria menawarkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin terhadap remaja yang tidak diwakili peguam itu.

Remaja itu yang kelihatan sedih merayu jaminan rendah atas alasan dia masih bersekolah dan tinggal bersama ibu serta bapanya yang kini tidak bekerja. Bapanya hadir ke mahkamah.

Mahkamah membenarkan remaja itu diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Mac depan untuk sebutan semula kes bagi lantikan peguam.

– BERNAMA


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427