KUALA LUMPUR- Kelewatan calon Sijil Pelajaran Malaysia menduduki peperiksaan Chemistry Kertas 3 – Amali Bertulis (Kod Kertas 4541/3) petang tadi, adalah disebabkan masalah teknikal kerana pusat peperiksaan terlibat mengalami kekurangan kertas soalan.
Kementerian Pendidikan dalam kenyataan berkata perkara itu telah diselesaikan mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan (LP).
LP juga turut memohon maaf atas kelewatan itu kepada semua calon yang menduduki peperiksaan itu yang dijadualkan bermula pada 2 hingga 3.30 petang tadi.
“Lembaga Peperiksaan amat kesal dengan kejadian yang berlaku dan memahami akan kesukaran yang dihadapi oleh calon dan ibu bapa akibat masalah teknikal yang dihadapi. Lembaga Peperiksaan sedaya upaya memastikan kebajikan dan keadilan kepada calon sentiasa diberikan keutamaan,” menurut kenyataan itu.
Katanya, LP turut akan mengambil perhatian serius terhadap perkara itu agar tidak berulang pada masa akan datang.- BERNAMA