KUALA LUMPUR, 26 Okt — Perbadanan gadai janji negara, Cagamas Bhd telah mengumumkan gabungan terbitan Sukuk SRI Kelestarian ASEAN (SRI Sukuk) sulungnya dan Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) berjumlah RM450 juta, yang diterbitkan di bawah Program Nota Jangka Sederhana Islam sedia ada bernilai RM60 bilion.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Chung Chee Leong berkata terbitan yang terdiri daripada Sukuk SRI bertempoh tiga tahun bernilai RM100 juta dan IMTN bernilai RM350 juta, dikeluarkan berdasarkan prinsip Murabahah Islam.
“Hasil daripada SRI Sukuk akan digunakan untuk membiayai pembelian pembiayaan Islam yang layak untuk perumahan mampu milik, sementara hasil daripada IMTN akan digunakan untuk membiayai pembiayaan rumah Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Chung berkata terbitan yang dilakukan melalui proses “book building” awam, yang hanya diketuai oleh RHB Investment Bank, mendapat sambutan luar biasa daripada para pelabur dan mencapai jumlah pesanan hampir RM2 bilion pada panduan harga permulaan.
“Ini membolehkan syarikat meningkatkan panduan harga secara progresif, memanfaatkan momentum permintaan untuk ditutup pada harga akhir 2.23 peratus setahun untuk SRI Sukuk dan 2.25 peratus setahun untuk IMTN dengan nisbah gabungan bidaan kepada terbitan (BTC) akhir sebanyak 3.5 kali.
“Harga akhir untuk terbitan mewakili 39 hingga 41 mata asas di atas Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) tempoh tiga tahun sebelumnya,” katanya.
Selain itu, beliau berkata SRI Sukuk untuk rumah mampu milik diberi penarafan Manfaat Sosial tertinggi iaitu Tier-1 oleh RAM Sustainability Sdn Bhd di bawah Bon Kelestarian/Rangka Kerja Sukuk (Rangka Kerja) Cagamas.
“Rangka Kerja ini merangkumi dua penyelesaian sosial iaitu perumahan mampu milik dan penjanaan pekerjaan melalui PKS; dan lima penyelesaian hijau yang termasuk tenaga boleh diperbaharui, kecekapan tenaga, bangunan hijau, pengangkutan rendah karbon, pengurusan air dan sisa air mampan,” katanya.
Sementara itu, Chung berkata urus niaga itu menandakan pelaksanaan terbitan ke-17 syarikat untuk tahun ini, menjadikan jumlah terbitan sejak awal tahun sehingga kini berjumlah RM6.68 bilion.
Kertas-kertas berkenaan yang akan ditebus pada nilai nominal penuh apabila matang, merupakan obligasi tidak bercagar syarikat, kedudukan setara sesamanya, dengan semua obligasi tidak bercagar sedia ada syarikat.
Terbitan itu akan disenarai dan didagangkan dalam Sistem Dagangan Sekuriti Tanpa Skrip.
– BERNAMA