PETALING JAYA: Beberapa kumpulan pendidikan menolak cadangan membatalkan peperiksaan SPM 2020 kerana ia berisiko menjejaskan masa depan pelajar.
Baru-baru ini, Ketua DAP Sarawak, Chong Chieng Jen dalam surat rayuan kepada Kementerian Pendidikan (KPM) mencadangkan peperiksaan itu dibatalkan dan sijil diberi berdasarkan hasil kerja kursus, peperiksaan percubaan dan penilaian guru.
Pengerusi Kumpulan Tindakan Ibu Bapa dalam Pendidikan Melaka, Mak Chee Kin memberitahu FMT, bergantung pada hasil kerja kursus dan keputusan peperiksaan percubaan mungkin menyebabkan sebilangan pelajar mendapat gred lebih rendah daripada sepatutnya dalam peperiksaan sebenar.
“Pelajar mungkin bertambah baik selepas (peperiksaan) percubaan. Setiap orang maju dengan cara berbeza. Jadi, tidak wajar mengambil kira peperiksaan percubaan.
“Juga, sesetengah pelajar mungkin mengambil mudah pembelajaran dalam Tingkatan 4, tanpa menyangka kerja mereka tiba-tiba diambil kira untuk skor SPM. Mereka mungkin menunjukkan prestasi berbeza kalau tahu.”
Mak berkata, dengan pengetahuan yang diperoleh daripada menangani pandemik COVID-19 tahun lalu, peperiksaan itu sepatutnya boleh diadakan tanpa isu.
“Peperiksaan tidak akan memburukkan lagi penularan COVID-19 kerana tempat duduk dijarakkan dan semua orang mematuhi SOP untuk sekolah. Tarikh peperiksaan sudah ditetapkan dan perlu diteruskan. Pelajar dan guru sudah bersedia.”
November lalu, KPM mengumumkan peperiksaan SPM 2020 ditunda ke bulan depan.
Presiden Ikatan Guru-guru Muslim (iGuru), Mohd Azizee Hasan berkata, peperiksaan percubaan tidak boleh dijadikan kayu pengukur terhadap prestasi dan kemampuan pelajar kerana ada segelintir sekolah tidak dapat menjalankan beberapa ujian serta kerja kursus dalam talian akibat kekurangan kemudahan teknologi.
“Jadi, jika penilaian ini dibuat tanpa melibatkan peperiksaan SPM sebenar, keabsahan keputusan pelajar itu boleh dipertikaikan.”
Beliau mencadangkan pelajar di kawasan berisiko tinggi dibenarkan datang lebih awal ke pusat peperiksaan khas, di mana SOP Kementerian Kesihatan dan KPM boleh dikuatkuasakan.
Dalam keadaan ekstrem, katanya, pelajar boleh menduduki peperiksaan ketika berada di hospital.
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Harry Tan Huat Hock menyifatkan SPM sebagai “ujian yang paling umum dan sumatif dalam kehidupan pelajar kita” serta sebarang keputusan untuk mengubah pensijilan perlu dibuat dengan berhati-hati kerana “itu adalah permulaan bagi laluan kerjaya pelajar”.
Peperiksaan SPM selaras peperiksaan global lain dan digunakan untuk memasuki institusi pengajian tinggi di dalam dan luar negara. Justeru, Tan yakin adalah penting untuk menjaga integritinya.
“Kita mesti mengekalkan standard SPM dengan apa jua cara supaya sistem pendidikan kita benar-benar bertaraf dunia dan tidak mendapat nama buruk.”
Perunding pendidikan, Tan Ai Mei berkata, peperiksaan adalah bahagian yang penting dalam proses pendidikan dan pelajar perlu mendudukinya walaupun ketika pandemik, dengan pilihan digital untuk ujian jarak jauh, jika perlu.
Katanya, ada banyak masa untuk pelajar membuat persiapan menduduki peperiksaan kerana ramai guru sudah lama menghabiskan silibus pelajaran.
Katanya, pandemik tidak patut dijadikan alasan untuk kemerosotan standard pendidikan.
“Ia terpulang kepada pelajar untuk mempunyai sikap yang betul. Jika mereka tidak mahu mengambil (peperiksaan), jika mereka menunjukkan prestasi lemah, itu bukan masalah pandemik.
“Mereka semua perlu bertanggungjawab terhadap pelajaran mereka. Ini adalah tingkatan lima, bukan darjah lima,” katanya.
-FMT