Bursa Malaysia kekurangan pemangkin

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR, 24 Mar 2023 (The Capital Post): Bursa Malaysia dibuka hampir tidak berubah pada sesi awal dagangan pagi ini di tengah-tengah kekurangan pemangkin.

-Advertisement-

Pada 9.12 pagi, penanda aras FBM KLCI susut 1.12 mata kepada 1,409.86 daripada penutup Khamis pada 1,410.98, selepas dibuka 0.15 mata lebih tinggi pada 1,411.13.

Dalam pasaran yang lebih luas, kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 164 berbalas 136, manakala 242 kaunter tidak berubah, 1,731 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 252.96 juta unit bernilai RM112.36 juta.

Dalam nota penyelidikan hari ini, Malacca Securities Sdn Bhd berkata kedua-dua bursa tempatan dan serantau diunjur mempamerkan peningkatan seiring pergerakan Wall Street semalaman, dengan menjangkakan kenaikan kadar faedah mungkin hampir berakhir.

Sementara itu, walaupun Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), Janet Yellen memberi jaminan terhadap keselamatan deposit negara itu, pelabur mungkin akan terus memantau perkembangan sektor perbankan di AS memandangkan masih adanya ketidakpastian, katanya.

“Pelabur juga dilihat memihak kepada saham teknologi berikutan keyakinan yang dipamerkan di Wall Street. Selain itu, saham utiliti, telekomunikasi dan pengguna mungkin menjadi tumpuan kerana risiko global masih belum reda.

“Sebaliknya, sektor perladangan diunjur menyaksikan tekanan jualan dalam situasi penurunan harga minyak sawit mentah,” tambah firma pembrokeran itu.

-Advertisement-

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, CIMB dan IHH Healthcare menokok dua sen setiap satu kepada RM5.23 dan RM5.84, manakala Public Bank dan CelcomDigi tidak berubah, masing-masing mencatatkan harga RM3.95 dan RM4.34, Maybank turun dua sen menjadi RM8.47 dan TNB susut enam sen kepada RM9.50.

Bagi saham aktif, DS Sigma meningkat enam sen kepada 45 sen, YBS International menambah 2.5 sen menjadi 70 sen, manakala Top Glove kekal pada RM1.02 dan Hong Seng Consolidated susut setengah sen kepada 13 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 1.06 mata kepada 10,335.99 dan Indeks FBMT 100 lemah 2.02 mata menjadi 10,027.15.

Indeks FBM Emas Syariah mengembang 0.84 mata kepada 10,671.38, Indeks FBM 70 meningkat 22.05 mata menjadi 13,411.23 dan Indeks FBM ACE memperoleh 28.16 mata kepada 5,342.81.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga menambah 2.31 mata kepada 813.56, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.09 mata kepada 167.26, manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan menyusut 9.06 mata kepada 15,557.09 dan Indeks Perladangan turun mata 12.81 mata untuk mencatatkan paras 6,756.70.

-BERNAMA -BH

(The Capital Post)


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427