Bunga api, laungan terima kasih rai tamat PKPD Mentari Court

Estimate Reading Time: 2 minutes

Petaling Jaya: Percikan bunga api serta laungan terima kasih dan merdeka kedengaran ketika kawat duri di Apartment Mentari Court, Bandar Sunway, di sini, dibuka tepat jam 12 tengah malam tadi, sekali gus menandakan tamatnya Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan itu.

-Advertisement-

Malah, sebahagian penghuni apartmen itu dilihat turut memancarkan lampu dari tingkap rumah masing-masing sebagai simbolik meraikan ‘kebebasan’ mereka.

Pegawai Daerah Petaling Datuk Johary Anuar berkata, penamatan PKPD di kawasan berkenaan dilakukan selepas semua saringan kesihatan dan pemberian vaksin selesai dijalankan.

“Selepas semua tugasan itu selesai, kami mengemukakan permohonan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menamatkan PKPD di kawasan ini lebih awal.

“Sepanjang 12 hari PKPD di sini, seramai 9,504 penghuni menjalani saringan kesihatan. Daripada jumlah itu, 5,797 individu menjalani saringan Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) dengan 419 individu disahkan positif atau 7.2 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

JOHARY ketika sidang media selepas PKPD di Pangsapuri Mentari Court, Petaling Jaya, ditamatkan bermula hari ini. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali. Turut hadir, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid.

Johary berkata, pihaknya turut mewujudkan pusat penilaian Covid (CAC) bagi mengenal pasti penduduk yang memerlukan rawatan lanjut di hospital atau hanya perlu menjalani kuarantin di rumah sepanjang tempoh itu.

-Advertisement-

“Hasil penilaian CAC, hanya 68 individu yang dihantar ke hospital untuk menerima rawatan lanjut.

“Sepanjang tempoh itu juga, kami turut menyediakan kemudahan bagi pelbagai rawatan sama ada kes Covid-19 dan bukan Covid-19 kepada 395 penduduk,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang tempoh PKPD di kawasan berkenaan, seramai 6,178 individu atau 65 peratus menerima suntikan vaksin.

“Daripada jumlah itu, seramai 6,102 orang diberi dos pertama, manakala 76 individu lagi menerima dos kedua.

“Hasil saringan kesihatan dilakukan, seramai 2,876 individu tidak diberikan vaksin kerana sudah menerimanya lebih awal.

“Selain itu, penduduk yang berusia bawah 18 tahun, mempunyai masalah alergi ubat dan masalah komorbid tidak menerima vaksin dalam tempoh itu,” katanya.-BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427