KUALA LUMPUR: Keputusan sama ada Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad, akan dibebaskan atau dipanggil membela diri atas tuduhan rasuah RM2.8 juta akan diketahui hari ini.
Keputusan di akhir kes pendakwaan itu akan diputuskan oleh Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob pada jam 3 petang.
Bung Moktar yang juga bekas Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA dan Zizie perlu membela diri jika pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka, namun pasangan suami isteri itu akan dibebaskan jika mahkamah mendapati sebaliknya.
Seramai 30 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan kes yang bermula 2 Januari 2020.
Saksi itu termasuk bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah; bekas Pengurus Besar Pelaburan FELCRA, Adnan Yusof; Ahli Lembaga Pengarah (ALP) FELCRA, Dr Habibah Suleiman dan dua perunding unit amanah Public Mutual Berhad, iaitu Norhaili Ahmad Mokhtar serta Madhi Abdul Hamid.
Pada 24 Jun lalu, Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How, berhujah dua tertuduh itu memainkan peranan bagi melengkapkan transaksi pelaburan Felcra Berhad ke dalam Public Mutual Fund dengan pengetahuan Ahli Parlimen Kinabatangan itu serta mendapat manfaat kewangan daripada pelaburan berkenaan.
Pembelaan Zizie Izette cuba berdolak dalih dengan menyatakan wang suapan diterima bagi semua transaksi adalah bayaran pengenalan atas dasar sukarela, namun pembelaan itu adalah lemah dan tidak masuk akal.
Chin How menegaskan mustahil bagi saksi pendakwaan ke-24 dan ke-25 pendakwaan masing-masing ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid, 43, dan perunding unit amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar, 45, sanggup membayar RM2.8 juta secara keseluruhan kepada Zizie Izette, di mana jumlah itu adalah separuh daripada jumlah kadar komisen diterima.
Walaupun saksi pendakwan ke-25 berkata, jumlah yang besar adalah strategi pemasaran dalam memasarkan produk unit amanah, ia tidak munasabah dan tidak masuk akal kerana membayar lebih separuh keuntungan dikaut atas usaha sendiri kepada orang tengah atau ejen yang memperkenalkan bakal pelanggan.
Sementara itu, peguam bela Bung Moktar, M Athimulan berhujah keterangan dua saksi itu tidak menyebut apa-apa berhubung pemberian suapan kepada anak guamnya menerusi Zizie Izette.
Katanya, tiada bukti daripada saksi bahawa suapan pergi kepada Ahli Parlimen Kinabatangan itu dan suapan berkenaan diberikan oleh Zizie Izette kepada suaminya.
Untuk mengekalkan pertuduhan, adalah wajib untuk membuktikan suapan sudah dibayar, diterima dan diperoleh.
Bung Moktar, 64, didakwa atas dua tuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan FELCRA untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Ahli Parlimen Kinabatangan itu didakwa menerima rasuah daripada Madhi melalui Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati, antara jam 12.30 tengah hari hingga 5 petang 12 Jun 2015.
Bung Moktar juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai RM335,500 daripada Norhaili, di bawah nama Zizie Izette atas sebab sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.
Zizie Izette, 44, pula mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa sama.