KEPALA BATAS: Bukit Aman menumpaskan sindiket pengedaran rokok seludup selepas menyerbu satu gudang dan stor di Kampung Selamat, Tasek Gelugor dalam Op Kontraban, semalam.
Dalam serbuan itu, polis merampas 18.49 juta batang rokok seludup dianggarkan bernilai hampir RM13.87 juta dan menahan lima lelaki warga tempatan berusia 36 hingga 63 tahun disyaki anggota sindiket berkenaan.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Zainal Abidin Kasim, berkata serbuan dijalankan selepas polis Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas, Pasukan Gerakan Khas (PGK) KDNKA, Bukit Aman menjalankan risikan selama empat bulan.
“Dalam serbuan itu, polis turut merampas empat lori dan dua kereta bernilai RM300,000 dipercayai digunakan sindiket berkenaan menjalankan kegiatan penghantaran rokok seludup.
“Turut dirampas adalah wang tunai RM2,200. Nilai keseluruhan rampasan dalam serbuan ini hampir RM14.17 juta.
“Siasatan awal mendapati sindiket ini aktif melakukan kegiatan pengedaran rokok di bahagian utara dan tengah Semenanjung,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara (SPU), hari ini.
Hadir sama, Ketua Polis negeri, Datuk Sahabudin Abdul Manan dan Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor.
Sindiket berkenaan dipercayai mengisytiharkan rokok terbabit sebagai barang runcit berdasarkan surat kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) ditemui dalam lori dirampas.
Bagaimanapun Zainal Abidin berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui modus operandi sindiket berkenaan dan negara mana rokok itu diperoleh memandangkan ia baru saja ditumpaskan.
Beliau berkata, polis percaya lima lelaki yang ditahan itu hanya ‘sub’ kepada sindiket itu dan polis kini dalam usaha untuk mengesan dalang atau ketua kumpulan terbabit.
“Melalui semakan, lima lelaki yang ditahan itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau. Kita percaya ada ketua sindiket di sebalik kegiatan ini dan berusaha untuk mengesannya,” katanya sambil menegaskan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.-BH