Buat PKP untuk apa? Kes makin naik, syarat makin longgar, hentikan saja, kata Najib

Estimate Reading Time: 2 minutes

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Najib Razak menggesa Putrajaya menarik semula perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilaksanakan susulan banyak aktiviti perniagaan kembali dibuka walaupun kes Covid-19 tidak menunjukkan sebarang penurunan.

-Advertisement-

Najib berkata, langkah menghentikan pelaksanaan PKP perlu dibuat supaya ia adil untuk semua pihak, memandangkan masih ada beberapa aktiviti perniagaan lain yang tidak dibenarkan beroperasi.

“Sebenarnya kita buat PKP untuk apa memandangkan kes baru Covid masih semakin naik dan syarat semakin longgar? Jika begini, hentikan sahaja PKP supaya adil pada semua.

“Sebab itu dari hari pertama PKP, saya sudah saran supaya PKP paling ketat dilaksanakan untuk dua minggu sahaja untuk memberi impak maksima usaha lawan Covid. Kita buat ketat-ketat dua minggu.

Najib Razak.

“Kerajaan pula beri bantuan secukupnya bagi semua untuk menghadapi dua minggu yang tegas itu. Beri peluang untuk hospital dan petugas barisan hadapan kita pulih. Ia tidak dibuat,” katanya di Facebook.

Najib berkata, sebaliknya kita sudah menjalani 17 hari PKP “setengah masak” yang akhirnya “terbazir”.

-Advertisement-

“Akibatnya, kes Covid-19 tak turun dan kita sudah menjadi negara paling teruk dilanda Covid-19 dalam ASEAN.

“Tekanan ke atas sistem kesihatan dan petugas barisan hadapan semakin berat. Rakyat disuruh kuarantin dan rawat kendiri di rumah. Semakin banyak kluster Covid-19 di tempat kerja tercetus tetapi semakin banyak kelonggaran untuk PKP diberi pula,” katanya.

Najib mendakwa, kerajaan seolah-olah mahu keadaan kes Covid-19 tetap tinggi dan berpanjangan, manakala rakyat perlu bersedia untuk menghadapi penularan wabak itu yang semakin parah pada bulan mendatang.

“Bila boleh buka semula sekolah pun menjadi satu tanda tanya yang besar.

“Jika sekolah buka pun, ibu bapa pun terfikir nak hantar anak ke sekolah ke tidak sebab penularan Covid tetap tinggi,” katanya.

-FMT


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427