Bomba Kedah tumpu 39 ‘hot spot’ kawasan peranginan ketika musim tengkujuh

Estimate Reading Time: 2 minutes

ALOR SETAR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah akan memberi fokus di 39 kawasan ‘hot spot’ kawasan peranginan di negeri ini ketika fasa peralihan Monsun Timur Laut yang dijangka bermula November hingga Mac tahun depan.

-Advertisement-

Antara pusat peranginan terbabit termasuk 11 kawasan hot spot di Baling, Sik (lima), Kulim, Langkawi (empat), Kubang Pasu, Guar Ghempedak, Yan (tiga), Padang Terap (dua) dan satu lokasi masing-masing di Pendang dan Bandar Baharu.

Pengarah JBPM Kedah, Sayani Saidon berkata, tumpuan sepenuhnya diberikan di daerah Baling terutamanya di Kampung Iboi, Kupang kerana berlakunya kejadian berulang kepala air berbanding di Titi Hayun, Yan tahun lalu.

Beliau berkata, Baling mempunyai 11 pusat rekreasi yang banyak berbanding daerah lain iaitu Lata Celak Iboi, Teratak Simpul (Kampung Weng Dalam), Air Panas (Ulu Legong), Kuala Kedua dan Lubuk Badak (Jalan Ulu Legong), Sungai Pam (Kampung Luar Siong), Lata Baling, Lubuk Pedati, Lata Nering, Lata Bayu dan Lata Bukit Hijau.

“Tugas kita adalah melakukan pemantauan terus ke lokasi sekiranya hujan melebihi dua jam. Jika kita dapati paras air sungai dalam bahaya, kita akan maklumkan kepada penduduk supaya bersiap sedia untuk berpindah dengan membawa dokumen penting bersama mereka.

“Akibat kesan kejadian kepala air yang berlaku di Kupang, Baling pada 4 Julai lalu turut menyebabkan aliran sungai pun ada berubah termasuk di bahagian atas Gunung Inas,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Ibu Pejabat JPBM Kedah, Jalan Suka Menanti, di sini hari ini.

Sayani berkata, struktur tanah juga sudah longgar menyebabkan ia tidak boleh menampung air apabila hujan lebat di hulu dan dalam tempoh tiga atau empat jam saja ia akan sampai ke hilir kampung di bawah.

“Hubungan erat agensi berkaitan dalam penyelamatan termasuk JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) juga makin padu sejak kejadian itu berlaku di daerah itu Julai lalu,” katanya.

-Advertisement-

Sayani berkata, pihaknya juga akan mengadakan Kempen Kesedaran Keselamatan Kebakaran dan Keselamatan Aktiviti Di Air di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerai di Kupang Baling untuk mempertingkatkan kepekaan, kesedaran masyarakat di Baling yang tinggal berhampiran sungai bukan di Kampung Iboi tetapi penduduk di daerah itu yang mempunyai banyak pusat peranginan.

Dalam pada itu, Sayani berkata, selain itu pihaknya turut mengenal pasti 218 lokasi berisiko berlakunya banjir di negeri ini iaitu 52 lokasi di Baling, Kota Setar (32), Kulim (25), Sik (21), Langkawi (19), Kubang Pasu (16), Kuala Muda (17), Bandar Baharu (14),

Padang Terap (tujuh), Yan (enam) dan Pokok Sena (empat),

Beliau berkata, kawasan itu juga akan diberi tumpuan jika berlaku banjir untuk memastikan operasi menyelamat dilakukan dengan teratur dan berjalan lancar.

“JBPM Kedah sudah bersedia dari segi aset logistik dan keanggotaan termasuk akan mengarahkan pegawai serta anggota bekerja pada bila-bila masa sekiranya berlaku lagi kejadian seperti itu berulang.

“Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di setiap daerah juga turut melakukan pemantauan di kawasan peranginan yang berisiko yang sudah dikenal pasti bagi memudahkan sekiranya berlaku kejadian tidak diingini, bantuan untuk kerja penyelamatan dilakukan segera,” katanya.

-BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427