Bomba beku cuti mulai 4 November

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA, 28 Okt 2022 (The Capital Post): Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membekukan cuti anggotanya bagi memastikan tahap kesiapsiagaan jabatan pada tahap optimum sepanjang tempoh kritikal Monsun Timur Laut (MTL), bermula November depan.

-Advertisement-

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid, berkata kelulusan cuti diselaraskan bagi tempoh 4 hingga 30 November bagi semua jenis cuti, kecuali cuti kecemasan, keagamaan dan perubatan.

Bagi tempoh 1 Disember hingga 15 Januari 2023 pula, katanya, hanya 20 peratus daripada keseluruhan pegawai dan anggota dibenarkan bercuti.

Katanya, pembekuan cuti membabitkan semua kategori pegawai dan anggota bertugas di negeri, mengambil kira kemungkinan banjir yang dijangka melanda.

“Tugas dan peranan sebagai komander dan timbalan komander operasi bencana akan diambil alih oleh JBPM,” katanya berucap pada Perhimpunan Oktober 2022 JBPM, di sini hari ini.

Katanya, tugas dan peranan komander operasi bencana diputuskan pada 12 Oktober lalu pada Mesyuarat Pelarasan Agensi-Agensi Tindak Balas Bagi Menghadapi MTL 2022/2023 yang dipengerusikan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Hazani Ghazali.

-Advertisement-

Sementara itu, Hamdan berkata, beberapa anggota dan jentera JBPM akan ditempatkan di Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) ketika proses mencetak kertas undi demi memastikan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berjalan lancar.

“Saya juga sudah mengarahkan 333 balai bomba seluruh negara untuk mengenal pasti dan membuat pemeriksaan di pusat mengundi di negeri masing-masing dan pemantauan semasa pengiraan undi bagi mengelak berlaku sebarang insiden.

“JBPM juga bersiap sedia menghadapi sebarang insiden tidak diingini selepas pembentukan kerajaan baharu nanti,” katanya.

-BH

(The Capital Post)


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427