KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan Malaysia sedang berhubung dengan negara Asia lain termasuk China untuk mengetahui pendirian mereka sama ada mahu memboikot kehadiran pada sidang Minggu Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di San Francisco, California, Amerika Syarikat pada bulan depan.
Perdana Menteri berkata, maklumat yang diperoleh kelak membolehkan Malaysia mengambil keputusan seiring dengan ketetapan negara berkenaan.
“(Kehadiran Malaysia di) APEC kita sedang teliti. Ini badan ekonomi Asia Pasifik.
“Jadi kita hubungi dengan negara Asia, China (untuk tahu) tentang kedudukan mereka. Kita akan ambil keputusan selaras dengan pendirian rakan lain dan Asia,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan dibangkitkan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad (PN-Machang) sama ada Malaysia bercadang untuk memboikot sidang APEC nanti sebagai tanda solidariti terhadap Palestin.
Memetik laporan BH sebelum ini, Perdana Menteri akan mengetuai delegasi Malaysia ke APEC pada November ini.
Selain mesyuarat pemimpin APEC, kalangan pemimpin ASEAN kecuali Myanmar turut dipelawa bagi mesyuarat berasingan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden.
APEC yang ditubuhkan pada 1989, adalah satu forum ekonomi serantau bagi memanfaatkan kebergantungan yang saling meningkat di Asia Pasifik.
Selain itu, 21 anggota Ekonomi APEC menyumbang hampir 40 peratus daripada penduduk global atau hampir 50 peratus daripada perdagangan global serta lebih 60 peratus eksport barangan AS.
Negara anggota APEC adalah Australia, Brunei, Kanada, Chile, China, Hong Kong, Malaysia, Indonesia, Jepun, Korea, Mexico, New Zealand, Papua New Guinea, Peru, Filipina, Rusia, Singapura, Taipei, Thailand, AS dan Vietnam.
– BeritaHarian