BN tak perlu ADUN lantikan, pilih jadi ‘pembangkang’ dari luar DUN

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA TERENGGANU: Barisan Nasional (BN) akan tetap memastikan peranannya sebagai pembangkang di Terengganu diteruskan, meskipun parti itu tidak mempunyai wakil dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

-Advertisement-

Untuk itu, Penolong Setiausaha UMNO Terengganu, Bazlan Abd Rahman berkata, BN tidak akan sesekali berdiam diri sekiranya pentadbiran kerajaan negeri bersikap pilih bulu terhadap rakyat.

Beliau berkata, BN akan terus menyuarakan pandangan dan kritikan sekiranya ada perkara yang tidak betul dalam pentadbiran negeri kerana pihaknya tidak mahu melihat ada rakyat disisihkan, selain memastikan semua lapisan mendapat manfaat dari segi bantuan diberikan.

“Rakyat telah buat keputusan (dalam pilihan raya negeri lalu) dan kita beri peluang kepada parti yang membentuk kerajaan Terengganu untuk mentadbir negeri.

“Tugas kerajaan negeri sekarang ini hendaklah mengutamakan semua rakyat dan tidak memilih bulu dalam soal pembahagian bantuan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Razali Idris, bahawa kerajaan negeri mahu mewujudkan kumpulan ‘pembangkang’ yang bukan macam UMNO di DUN Terengganu.

-Advertisement-

Berdasarkan kenyataan itu, Razali berkata empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan dipertimbang dalam kalangan profesional, golongan minoriti bukan Islam, orang kurang upaya (OKU), dan badan bukan kerajaan (NGO) dari pelbagai bidang.

Ia susulan status DUN Terengganu yang tidak mempunyai pembangkang apabila Perikatan Nasional (PN) menyapu bersih semua 32 kerusi DUN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

Mengulas lanjut, Bazlan yang juga bekas ADUN Batu Rakit menegaskan tidak ada keperluan untuk melantik ADUN dalam kalangan UMNO dan BN, sebaliknya biarlah kerajaan PAS mentadbir dan mengurus dengan cara mereka.

“Sejauh mana mereka mendengar pandangan kita…selama ini pun kita ada dalam dewan, mereka buat cara dia juga.

“Jadi sekarang, kita akan jadi pembangkang luar dewan dan mereka juga boleh dapatkan pandangan dan kritikan menerusi pungutan suara rakyat,” katanya.

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427