TAWAU, 21 Sept — Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin meminta pasukan keselamatan memperketat kawalan di kawasan sempadan negeri itu susulan ada maklumat rakyat negara jiran mahu membuat kekacauan pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 26 Sept ini.
Beliau berkata langkah keselamatan itu bagi mengekang sebarang cubaan pembolosan pihak asing atau jenayah rentas sempadan yang mampu mengganggu gugat keselamatan Sabah.
“Jika benar khabar angin yang mendakwa kehadiran mereka (kumpulan warga asing) secara besar-besaran yang bertujuan membuat huru-hara pada PRN ini, maka pihak keselamatan jangan bertolak ansur,” katanya kepada pemberita selepas perjumpaan bersama jentera BN di sini.
Semalam, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata pihaknya mendapat maklumat mengenai kemasukan besar-besaran rakyat dari negara jiran untuk tujuan itu.
Terdahulu, Bung Moktar dalam ucapannya menegaskan bahawa tindakan Presiden Parti Warisan Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang meminta Kerajaan Persekutuan berunding dengan Filipina mengenai tuntutan negara itu mengundang kekeliruan dalam kalangan rakyat.
“Kita tahu yang Filipina dengan sentimennya yang masih mahu menuntut Sabah walaupun pada hakikatnya, negeri ini adalah milik Malaysia.
“Soal keselamatan, kedaulatan negara dan negeri mana boleh dirunding-runding dan kita memang bantah, sebab itu juga kita memberi jaminan dalam ‘Aku Janji’ yang kita lancarkan baru-baru ini, kerajaan tidak akan mengiktiraf sebarang tuntutan dari mana-mana pihak yang mahu menuntut Sabah.
“Kita tidak akan biarkan satu inci pun bumi Sabah dimiliki oleh negara luar, tidak ada runding-runding, Sabah adalah milik Malaysia,” katanya.
Perjumpaan itu turut dihadiri tiga calon BN iaitu Hamild Awang yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Balung, Chaya Sulaiman (DUN Kukusan) serta Andy Mohamad Suryady Bandy (DUN Tanjung Batu).
-BERNAMA