KUALA LUMPUR: Pusat Perubatan Taman Desa (TDMC) segera menutup semua bilik rawatan selepas satu kes Covid-19 dilaporkan di hospital itu.
TDM Bhd dalam satu kenyataan hari ini berkata, petugas hospital yang mempunyai kontak dengan pesakit turut dikenal pasti untuk menjalani pemeriksaan.
TDM melalui anak syarikatnya, Kumpulan Medic Iman (KMI) menguruskan 4 hospital pakar iaitu TDMC, Pusat Perubatan Kelana Jaya di Petaling Jaya, Selangor; Pusat Perubatan Kuantan di Kuantan, Pahang dan Hospital Pakar Kuala Terengganu di Kuala Terengganu.
“KMI kini bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan dengan segala langkah pencegahan dilakukan untuk memerangi penyebaran penyakit ini.
“Kami mengambil tindakan yang perlu untuk menjaga kebajikan dan kesejahteraan kakitangan kami. Mereka kini di bawah pemantauan rapi atau menjalani kuarantin di rumah,” menurut kenyataan itu.
TDM hari ini mengesahkan satu kes Covid-19 di TDMC melibatkan seorang wanita warga Malaysia berusia 46 tahun yang baru pulang dari Jakarta dan Bogor, Indonesia. Pesakit dan keluarganya, termasuk suami, anak perempuan dan lelakinya mengunjungi 2 destinasi itu dari 13 hingga 19 Feb lalu.
Menurut kenyataan itu, wad umum hospital itu akan ditutup untuk kerja pembersihan dan pembasmian kuman secara menyeluruh serta menyelesaikan isu kakitangan yang dikuarantinkan.
“Memandangkan sesetengah petugas kami perlu dikuarantin selama 14 hari, kami menyasarkan untuk membuka semula dalam tempoh 48 jam atau sehingga notis selanjutnya bergantung kepada bilangan pekerja.
“Operasi hospital yang lain akan berjalan seperti biasa.” – FMT