GENEVA: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden semalam memberitahu rakan sejawatan dari Russia, Vladimir Putin berkaitan perang siber yang disifatkannya ‘di luar batas’.
Biden memuji pertemuannya dengan Putin berikutan negara kuasa besar itu berusaha meredakan ketegangan dalam hubungan dua hala.
Kedua-dua pemimpin itu berbincang lebih dari tiga jam, termasuk dua jam dengan turut disertai Menteri Luar Russia dan Setiausaha Negara AS.
Biden juga memberitahu bahawa pertemuan fizikal antara mereka berdua di sebuah villa di tepi Tasik Geneva sebagai ‘bagus, positif’.
Beliau berkata, AS dan Russia juga akan bekerjasama dalam beberapa aspek terutama berkaitan isu kepentingan masing-masing di Artik, Iran dan Syria.
Biden turut memaklumkan dalam sidang media bahawa dua kuasa besar nuklear itu juga ‘berkongsi tanggungjawab unik’ menjaga kestabilan dunia.
Walaupun ada beberapa isu hangat dalam pertemuan itu, Biden berkata, pertemuan itu lebih kepada peluang untuk menenangkan perselisihan antara dua negara itu.
“AS juga sudah menetapkan dasar yang jelas bagaimana kita mahu bekerjasama dengan Russia,” katanya.
Walaupun kedua-dua pemimpin itu mengatakan tidak ada ‘ancaman’ yang dikeluarkan dalam rundingan itu, Biden tegas untuk memberi amaran kepada Kremlin mengenai serangan siber terhadap apa yang dikatakannya sebagai 16 kawasan infrastruktur kritikal AS.
“Kawasan ini walaupun tanpa beritahu di mana… ‘harus dilarang’. Pelanggaran, akan membawa kepada tindak balas AS dalam bentuk – ‘siber’,” kata Biden.
Mengenai cadangan bahawa dunia dapat menyaksikan pengulangan Perang Dingin abad ke-20 – ketika Washington dan Moscow berlumba-lumba menghasilkan senjata nuklear, Biden berkata, perkara terakhir yang Putin mahukan sekarang adalah perang.-BH