KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu meneliti pelaksanaan undi pos kepada pengundi yang bekerja atau belajar di luar Sarawak, sekiranya pilihan raya negeri (PRN) diadakan, kata Bersih Sarawak.
Kumpulan itu berkata, undi pos akan memudahkan pengundi Sarawak yang tinggal di negeri lain mengundi berbanding mereka pulang dan menyebabkan peningkatan jumlah kes Covid-19, seperti yang berlaku di Sabah bulan lalu.
Ketua Bersih Sarawak, Ann Teo berkata, dengan pelbagai sekatan perjalanan dan kemasukan dikuatkuasakan untuk mengekang penyebaran Covid-19, SPR perlu meneliti semua kemungkinan bagi memastikan pengundi boleh melaksanakan hak Perlembagaan mereka dengan selamat.
Beliau berkata, SPR menetapkan SOP semasa PRN Sabah, namun ia tidak cukup untuk membuatkan rakyat merasa selamat keluar mengundi. Terdapat juga lonjakan kes selepas kempen pilihan raya selesai.
“Daripada belajar dari negara lain yang berjaya mengadakan pilihan raya mereka, kita perlu reka sesuatu yang sesuai dengan situasi kita,” katanya kepada FMT.
Teo mengulas kenyataan Ketua Menteri, Abang Johari Openg yang berkata, SPR boleh belajar daripada pilihan raya di Singapura, New Zealand dan Korea Selatan, yang diadakan ketika pandemik tanpa mencetuskan sebarang peningkatan kes Covid-19.
Aktivis sosial, Lee Lam Thye bagaimanapun berkata, Sarawak perlu belajar dari Sabah dan bukannya negara lain kerana keadaannya berbeza.
“Saya tidak rasa kita boleh belajar dari negara lain sepenuhnya kerana keadaannya berbeza, seperti keluasan tanah, penduduk bandar dan luar bandar, kemudahan dan prasarana sedia ada, antara lain.
“Kita tak boleh terapkan semua yang diguna pakai di negara lain untuk pilihan raya Sarawak.
“Selain itu, saya percaya semua orang di peringkat akar umbi tidak sokong mengadakan pilihan raya sekarang kerana negara sedang berperang dengan Covid-19. Tak patut ada pilihan raya tahun ini – yang pasti bukan bulan ini atau bulan depan.”
Pengerusi SPR, Abdul Ghani Salleh dilaporkan berkata, cabaran mengadakan pilihan raya di Malaysia mungkin berbeza dengan negara lain berdasarkan infrastruktur, geografi dan faktor lain yang semuanya akan memberi impak kepada proses pilihan raya.
Oleh itu, SPR akan bekerjasama dengan jabatan dan agensi berkaitan seperti Kementerian Kesihatan, Majlis Keselamatan Negara, Agensi Pengurusan Bencana Negara dan polis.
Katanya, ini perlu untuk setiap pelaksanaan kawalan berkesan dari semasa ke semasa yang sesuai dengan peruntukan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit.
“Kami akan terus meningkatkan usaha untuk melaksanakan pilihan raya yang cekap dan telus, tanpa mengabaikan keselamatan rakyat.
“Selain itu, penting bagi semua orang mematuhi SOP. Jika tidak, walaupun SOP adalah piawaian tertinggi, ia tidak akan berkesan,” katanya.
Penggal 5 tahun Dewan Undangan Negeri Sarawak akan tamat 7 Jun tahun depan. Pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN. -FMT