Belanjawan 2024 tumpu usaha tarik pelaburan domestik

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2024 dijangka turut memberi perhatian untuk meningkatkan pelaburan langsung domestik (DDI) di samping usaha berterusan menarik pelaburan langsung asing (FDI).

-Advertisement-

Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong, berkata usaha meningkatkan DDI itu adalah dengan membantu perniagaan Malaysia terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk terus berkembang dan berdaya saing dalam pasaran tempatan dan juga antarabangsa.

Beliau berkata, usaha menyokong pengembangan perniagaan tempatan terutama PKS itu juga akan menjadi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi kerajaan.

Katanya, walaupun usaha untuk menarik FDI terus diperbanyakkan, tumpuan juga tidak ketinggalan dalam merancakkan DDI.

“Pelaburan asing penting dan kita akan terus memperbanyakkan usaha mendapatkan FDI. Namun, kita juga akan melihat DDI, sebagai salah satu KPI kerajaan.

“Perniagaan di Malaysia terutama PKS perlu mendapat sokongan selepas pandemik. Kita hendak melihat cara meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Belanjawan 2024 akan dirangka dalam kerangka Ekonomi MADANI dengan teras utama menaikkan siling dan menaikkan lantai,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran Pusat Penghantaran Serantau Allianz Technology di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Bhd, Sean Wang.

-Advertisement-

Mengulas lanjut, Chee Keong berkata, kerajaan akan terus menyokong pengembangan PKS bagi membolehkan mereka bersaing dalam sektor yang lebih bernilai tinggi.

Malah, katanya, sokongan yang diberikan itu juga membolehkan mereka bersaing bukan saja dalam pasaran tempatan tetapi juga pasaran antarabangsa.

Mengenai penubuhan Pusat Penghantaran Serantau Allianz Technology, Sim berkata, ia adalah satu inisiatif yang baik dan dijangka mewujudkan 500 peluang pekerjaan berasaskan teknologi yang bergaji tinggi, yang selaras dengan hasrat yang ingin dicapai kerajaan dalam Ekonomi MADANI untuk menaikkan siling dan lantai.

Beliau berkata, Malaysia mahu menceburi bidang ekonomi pengetahuan, dengan eksport negara bukan saja membabitkan produk dan perkhidmatan berteknologi rendah, tetapi juga eksport produk berteknologi tinggi seperti perkhidmatan teknologi maklumat (IT).

“Saya harap kita akan mempunyai lebih banyak pelabur yang akan menceburi dalam bidang hab perkhidmatan global dengan menawarkan perkhidmatan kepada syarikat multinasional yang sudah bertapak di Malaysia. Kita mempunyai potensi ini,” katanya.

Chee Keong berkata, antara faktor yang menjadikan Malaysia sebagai tarikan ialah kepelbagaian budaya, kebolehan rakyat dalam pelbagai bahasa dan bakat teknologi yang ada di negara ini.

– BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427