PETALING JAYA: Amanah mendakwa peruntukan dalam Belanjawan 2021 kepada bukan Bumiputera tidak adil dan dibuat sebagai belanjawan pilihan raya untuk menarik sokongan Melayu-Islam.
Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad berkata, dengan jumlah wang yang besar diperuntukkan kerajaan dalam Belanjawan 2021, ia sewajarnya diagihkan secara adil dan saksama kepada rakyat tanpa mengira agama dan bangsa.
“Kesan wabak Covid-19 ke atas rakyat khususnya dari segi ekonomi, merentasi sempadan bangsa, agama, warna kulit, kaum, budaya dan bahasa. Semua pihak terjejas dan amat perlu dibantu,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Beliau berkata, dari segi pecahan diperuntukkan kepada masyarakat Islam dan Bumiputera, sebanyak RM10 bilion disediakan untuk mereka, manakala bangsa lain pula hanya RM100 juta sahaja.
Katanya, Amanah percaya prinsip keadilan dan kasih sayang merupakan tunjang utama dalam Islam, disebabkan itu ia sewajarnya mendasari apa juga tindakan mengagihkan bantuan yang diberikan kepada rakyat.
“Kekalkan jumlah untuk masyarakat Bumiputera, tetapi bajet untuk bukan Bumiputera juga perlu menunjukkan sensibiliti terhadap masalah dihadapi mereka,” katanya.
Pada masa sama, Khalid percaya secara relatifnya bantuan ke atas masyarakat Bumiputera dan Islam boleh melebihi bantuan untuk pihak lain, namun masalah atau kesukaran golongan bukan Bumiputera dan Islam wajar diambil kira dan diambil berat.
“Hakikatnya ramai mereka yang terjejas teruk akibat Covid-19. Malangnya, Amanah melihat kerajaan PN yang bangga dengan gelaran kononnya kerajaan Melayu Islam gagal menghayati prinsip keadilan terhadap semua melalui belanjawan mereka.
Menurutnya, kaedah dan pendekatan kerajaan PN tidak bertanggungjawab dan bersifat pecah-belah, ia bukan sahaja akan mewujudkan perasaan marah serta kebencian antara kaum dan agama malah mecemar imej Islam.
“Hal ini kerana, ketidakadilan ini dilakukan kononnya atas nama Melayu-Islam. Ironinya, ketika kerajaan berkata mahu membantu Bumiputera, Melayu dan Islam, peruntukan untuk sekolah agama dan tahfiz jauh lebih rendah dalam belanjawan ini.
“Berbanding peruntukan ketika kerajaan PH yang menteri kewangannya dituduh pelbagai kata nista kerana dia pemimpin DAP. Semasa Lim Guan Eng menjadi menteri kewangan, RM100 juta diperuntukkan manakala ketika kerajaan PN, hanya RM29 juta sahaja,” katanya. -FMT