Bekas tentera hidup bagaikan PATI kerana tidak dapat MyKad

Estimate Reading Time: 2 minutes

KANGAR- Akibat kerenah birokrasi, seorang bekas anggota tentera darat berpangkat Staf Sarjan terpaksa menjalani kehidupan bagaikan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) kerana tidak mendapat kad pengenalan gantian sejak bersara dalam perkhidmatan pada Okt 2016.

-Advertisement-

Justan Latahang , 44, yang berasal dari Sabah tetapi kini menetap di Beseri, Padang Besar berkata ketiadaan MyKad menyebabkan beliau menghadapi kesukaran untuk memperolehi kemudahan sebagai rakyat Malaysia seperti perkhidmatan kesihatan percuma, bantuan persekolahan anak-anak dan lebih teruk lagi tidak dapat memohon pekerjaan tetap.

“Tiada sesiapa yang ingin ambil saya bekerja …pi (pergi) minta kerja sebagai pengawal keselamatan pun tak lepas (tidak diterima),” katanya kepada Bernama di sini.

Bapa kepada tiga orang anak itu berkata beliau hanya terpaksa bergantung dengan wang persaraan tentera yang tidak seberapa untuk menyara keluarga manakala isterinya tidak berkerja.

“Saya risau sekiranya terus gagal mendapat MyKad akan menjejaskan masa depan anak saya untuk menyambung pelajaran memandangkan semua pemohonan untuk memasuki institusi pendidikan sekarang dilakukan secara dalam talian,” katanya sambil mengeluh.

Justan berkata beliau sebelum ini telah beberapa kali membuat rayuan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Putarajaya dan Sabah namun masih gagal mendapat MyKad.

Beliau diberitahu oleh pegawai JPN Sabah bahawa nombor siri sijil kelahirannya bertindih dengan individu lain menyebabkan pihak JPN Sabah tidak dapat mengeluarkan MyKad untuknya.

-Advertisement-

“Sekarang saya masih menunggu surat daripada JPN Sabah untuk menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA) seperti yang dimaklumkan kepada saya sebelum ini, namun setelah menunggu hampir setengah tahun masih belum menerima sebarang jawapan.

Justan berkata beliau telah empat kali ke Sabah untuk berurusan dengan Jabatan Pendaftaran di sana namun masih gagal mendapatkan MyKad.

Beliau juga bimbang akan menghadapi masalah pembayaran pencen pada masa hadapan sekiranya masih gagal mendapatkan MyKad.

“Saya hanya bergantung hidup kepada duit pencen..kalau saya tiada nanti apa yang akan berlaku kepada anak-anak dan isteri saya ,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Veteran ATM Cawangan Chuping, Hamidun Daus berharap pihak berkaitan dapat membantu pesara tentera yang masih gagal kad pengenalan gantian selepas menamatkan perkhidmatan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Kita di peringkat persatuan sedia membantu pesara tentera namun ini memerlukan sokongan daripada pihak berkaitan seperti Jabatan Pendaftaran Negara untuk memudahkan urusan penggantian kad tentera kepada MyKad.

“Dalam kes Justan, kita telah berusaha namun masih gagal untuk membantunya..saya harap pihak berkenaan serius dalam membantu bekas anggota keselamatan yang telah berkhidmat menjaga keselamatan negara,” katanya.- BERNAMA


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427