JAMINAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa tiada sekatan terhadap kegiatan ekonomi termasuk bazar Ramadan pada tahun ini, menunjukkan senario ekonomi negara berada pada fasa pemulihan signifikan.
Apatah lagi pengumuman pengoperasian bazar Ramadan dengan prosedur operasi standard (SOP) akan diperhalusi dan diumumkan apabila sampai masanya nanti itu, sudah pasti memberikan semangat kepada pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk bangkit menggerakkan sektor ekonomi yang suram dua tahun kebelakangan ini apabila pandemik COVID-19 melanda seluruh dunia.
Realitinya, aktiviti penjanaan ekonomi PKS perlu terus berfungsi walaupun berdepan pelbagai cabaran dan kekangan daripada pelbagai sudut.
Sektor ekonomi beroperasi dengan norma baharu penuh waspada seumpama menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak. Begitulah implikasi ekonomi yang perlu berlangsung seadanya tanpa menafikan pada masa sama, semua pihak mesti memastikan tahap kesihatan awam terjaga.
Pembukaan banyak sektor ekonomi memberikan petunjuk positif dalam pencapaian prestasi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia yang meningkat sebanyak 3.6 peratus pada suku keempat 2021, berbanding penguncupan sebanyak 3.4 peratus pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, langkah susulan perlu diambil semua pihak bagi memastikan kelestarian ekonomi berlangsung dalam kitaran kondusif, sekali gus mencapai titik keseimbangan sewajarnya.
Indikator permintaan dan penawaran pasaran seperti harga barangan, kuantiti ditawarkan seharusnya mampu memberi impak maksimum kepada kuasa beli pengguna serta memberi pulangan sewajarnya kepada pengusaha terbabit.
Hal ini perlu seiring dengan langkah pemulihan ekonomi yang digariskan kerajaan menerusi pelbagai inisiatif Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang digubal dan dilaksanakan.
Sehubungan itu, kerajaan turut mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi negara bagi 2022 antara 5.5 peratus dan 6.5 peratus yang sebenarnya selari dengan unjuran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia, iaitu masing-masing pada 5.7 peratus serta 5.8 peratus.
Langkah operasional perlu diambil perhatian khusus antaranya dengan memastikan tiada kenaikan ketara dalam harga barangan dan perkhidmatan ditawarkan, terutama menjelang Ramadan dan musim perayaan bakal disambut nanti.
Sistem rantaian bekalan makanan dan barang keperluan rakyat perlu dipastikan berada pada tahap optimum di pelbagai peringkat sama ada pihak pengeluar, pekilangan, pengedar atau peruncit.
Langkah ini penting bagi memastikan operasi pasaran berlangsung secara menang-menang yang pengguna dapat memaksimumkan nilai ke atas setiap pembelian dengan sebaiknya. Pada masa sama, penjual memperoleh pulangan sewajarnya daripada hasil titik peluh diusahakan.
Mekanisma kawalan harga sistematik perlu dilaksanakan dengan lebih aktif oleh pihak berwajib secara lebih bersasar terhadap barangan dan keperluan yang sering mendapat permintaan tinggi dalam pasaran.
Inisiatif bersifat whistle-blowing atau pemberi maklumat dan mekanisma aduan pengguna secara dalam talian perlu digandakan bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan dan tiada pihak teraniaya dalam kitaran pasaran berlangsung.
Bagaimanapun, pengguna boleh mengambil langkah susulan secara kendiri dengan meningkatkan pengetahuan dan kesedaran mengenai hak pengguna dalam transaksi jual beli dilaksanakan.
Secara umumnya, pengumuman kerajaan terhadap kebenaran untuk pengoperasian bazar Ramadan memberi impak kepada pelbagai pihak. Peniaga dan pengusaha kecil sudah pasti berupaya menarik nafas lega dengan kebenaran diberikan kerajaan.
Oleh itu, langkah sistematik perlu disusun peniaga dengan tidak meletakkan matlamat keuntungan semata-mata sebaliknya bersama-sama merealisasikan matlamat kerajaan bagi memulih kehidupan dan mata pencarian seperti digariskan dalam Bajet 2022.
Pengguna sendiri pula perlu merancang pembelian dan mengatur sumber kewangan dengan baik agar tidak berlaku defisit dalam perbelanjaan.
Oleh itu, mereka perlu memastikan hanya melaksanakan pembelian mengikut keutamaan dan kegunaan dengan meletakkan objektif jelas dalam pembuatan keputusan terhadap perbelanjaan dibuat.
Pembelian perlu dilaksanakan mengikut kemampuan, bukan berdasarkan kehendak dan kemahuan nafsu. Ia tentunya ibarat mengukur baju di badan sendiri, iaitu pepatah muhasabah boleh dijadikan pedoman dalam melaksanakan keputusan terhadap setiap pembelian dan wang dibelanjakan.
Kesimpulannya, jangkaan yang bakal berlaku sudah tentu memberi impak ekonomi yang positif. Inisiatif bazar Ramadan secara fizikal perlu dirai dengan sebaiknya mengikut tatacara SOP ditetapkan.
Pada masa sama, inovasi dalam operasi bazar Ramadan menerusi teknologi pembelian dalam talian sudah pasti dapat merancakkan lagi aktiviti ekonomi gig dalam pasaran lokal dengan liputan pelanggan merentas sempadan, bahkan tidak mustahil bersifat global.
Hal ini sudah pasti memberi warna baharu dan segar terhadap kanvas keusahawanan dan perniagaan dalam negara serta memberi sinar kebahagiaan kepada Keluarga Malaysia untuk makmur bersama mengecapi nikmat ekonomi dan kehidupan sejahtera.
Penulis adalah Felo Penyelidik di Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPeK), Universiti Malaysia Kelantan (UMK)
-BH