Bayi dua bulan parah digigit kera

Estimate Reading Time: < 1 minute

Butterworth: Bayi lelaki berusia dua bulan parah selepas digigit dan diseret kera sejauh satu meter dalam kejadian di rumahnya di Kampung Manggis, Sungai Puyu, kelmarin.

-Advertisement-

Dalam kejadian 2 petang itu, ibu bayi berkenaan ke dapur ke dapur untuk membuat susu sebelum mendengar tangisan kuat anaknya yang diletakkan di atas tilam di ruang tamu rumah.

Wanita itu kemudian berlari mendapatkan anaknya namun terkejut apabila melihat bayinya berada di atas lantai simen dengan berlumuran darah serta ternampak seekor kera jantan di hadapan pintu rumah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, suami wanita itu yang berusia 27 tahun membuat laporan polis semalam.

“Dalam laporannya, suami wanita itu memberitahu baru pulang dari kedai dan terkejut melihat anaknya berlumuran darah dengan terdapat kesan gigitan di pipi kanan, belakang kepala dan perut sehingga nampak usus.

“Dia kemudian bergegas membawa anaknya ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan sebelum dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP).

-Advertisement-

“Bayi lelaki itu selamat menjalani pembedahan kecil bagi mencantumkan kulit perut yang koyak semalam dan kini perlu menerima rawatan lanjut di wad kanak-kanak selama dua minggu sebelum dibenarkan keluar,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Noorzainy berkata, pihaknya dimaklumkan bayi itu berada seorang diri di ruang tamu dan hanya memakai baju dan lampin pakai buang, sementara, ibunya di dapur dan bapanya ke kedai bersama adik.

“Pintu rumah berkenaan berkunci, manakala tingkap juga tidak dibuka, namun dipercayai kera terbabit masuk dengan menggoyangkan pintu sehingga kunci jenis selak terbuka,” katanya.

Menurut, siasatan juga mendapati ia serangan pertama kera liar yang mendatangkan kecederaan kepada manusia, yang mana sebelum ini ia hanya mengganggu dan membuat kacau dalam dapur rumah penduduk.

Beliau berkata laporan kejadian itu dirujuk kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menangkap haiwan berkenaan.

-HMetro


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427