Bayi dan ibu cedera parah, angkara pemandu mabuk

Estimate Reading Time: 2 minutes

ALOR SETAR: Angkara pemandu mabuk, empat beranak cedera termasuk bayi perempuan berusia 12 bulan bersama ibunya parah, selepas seisi keluarga itu dirempuh sebuah kereta ketika berada di tepi jalan Persiaran Sultan Abdul Hamid di sini, malam tadi.

-Advertisement-

Kejadian jam 11.30 malam tadi berlaku selepas kereta BMW dikatakan terbabas melanggar bahagian belakang sebuah van persiaran menyebabkan terbalik di tempat kejadian sebelum melanggar empat beranak itu.

Kejadian itu menyebabkan Norhidayah Ahmad Yusof, 12 bulan dan ibunya, Bashirah Mohd Yazid, 31, cedera parah dan kini masih dalam rawatan kecemasan di Hospital Sultanah Bahiyah.

Suami Bashirah, Ahmad Yusof Che Kar, 42, dan seorang lagi anak pasangan itu, Mohamad Taufiq Ahmad Yusof, 10, hanya cedera ringan menerima rawatan pesakit luar di hospital sama.

Keluarga terbabit beralamat dari Kampung Pulau Nyior, Kota Sarang Semut, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin, berkata kemalangan berlaku membabitkan dua buah kenderaan dan empat mangsa yang berada di tepi jalan di kawasan itu.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati van persiaran yang dipandu lelaki berusia 58 tahun dari Ampang, Selangor dikatakan keluar dari arah simpang susuran Sultan Abdul Hamid 3, yang sedang bergerak lurus.

“Namun selepas van persiaran itu bergerak pada jarak lebih kurang 20 meter, kenderaan itu dilanggar dari arah belakang oleh kereta BMW yang datang dari arah Jalan Teratai.

-Advertisement-

“Akibat perlanggaran itu, kereta BMW itu hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar empat mangsa yang berada berhampiran lokasi kejadian.

“Pemandu BMW berusia 39 tahun itu yang turut mengalami kecederaan kini dirawat di sebuah hospital swasta di sini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Rozi berkata, saringan awal mendapati pemandu BMW itu memandu di bawah pengaruh alkohol, namun siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, sepasukan anggotanya dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja tiba di lokasi jam 11.37 malam.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian jam 11.34 malam berhubung kemalangan di lokasi kejadian.

“Operasi turut dibantu sepasukan anggota dari BBP Alor Setar dan mangsa yang cedera dihantar ke hospital oleh ambulan KKM.

“Tindakan anggota bomba melakukan kerja-kerja membersih sisa kemalangan di tempat kejadian,” katanya. -Berita Harian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427