Hakim Norina Zainol Abidin menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Nur Iman Shafie Mohd Sulin, 22, yang didakwa menunjukkan senjata berbahaya dengan gopoh sehingga membahayakan keselamatan diri dan orang lain di pusat bola sepak di Desa Melawati pada 12:45 tengah malam 4 Ogos lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda sehingga RM500 atau kedua- duanya, jika sabit kesalahan.
Peguam Muhammad Syawal Mohd Razak merayu anak guamnya diberikan hukuman wajar serta adil kerana tiada pekerjaan tetap dan hanya membantu ibu bapanya menjual nasi lemak secara kecil-kecilan.
Dia yang masih bujang perlu menjaga ibu bapanya yang mempunyai masalah kesihatan. Dia juga mengaku insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama pada masa depan,
katanya menurut Sinar Harian.
Seorang lelaki dikesan membawa kerambit ke padang ketika berlaku perselisihan faham dalam perlawanan bola sepak di Pusat Bola Sepak KLFA pada 4 Ogos lalu. Suspek ditahan selepas gambar kejadian itu tular di media sosial.
Dalam prosiding sama, Muhammad Nur Iman mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pindaan, bersama empat individu lain yang telah dituduh melakukan khianat dengan api di sebuah kelab hiburan.
Mereka didakwa membaling empat botol yang dinyalakan api ke arah kelab itu sehingga menyebabkan kerosakan pada bahagian depan premis di Jalan Yap Kwan Seng pada jam 2.17 pagi 9 Mei lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara 14 tahun serta denda, jika sabit kesalahan.
Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Sept ini untuk sebutan semula kes.
-FreeMalaysiaToday