Bapa tiri, ibu didakwa bunuh anak perempuan 8 tahun

Estimate Reading Time: < 1 minute

GOMBAK: Pasangan suami isteri didakwa di Mahkamah Majistret Selayang, hari ini atas pertuduhan membunuh anak perempuan mereka berusia lapan tahun pada 17 Ogos lalu.

-Advertisement-

Tertuduh, bapa tiri mangsa, Mohamad Zulhelmy Amirrudin, 29, bekerja sebagai pengawal keselamatan dan ibu mangsa, Norfazira Radzi, 30, mengangguk faham sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Chai Guan Hock.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan menyebabkan kematian ke atas Nur Anissa Afiera Muhamad Zulhafize di Pangsapuri Sandalwood Court, Bandar Tasik Puteri, Rawang, di sini, antara jam 11.51 pagi hingga 3.51 petang 17 Ogos lalu.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dihukum gantung sampai mati atau dipenjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun dan tidak kurang 12 sebatan.

Prosiding kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Izairah Zainal manakala tertuduh tidak diwakili peguam

-Advertisement-

Nor Izairah juga memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan baharu bagi mendapatkan laporan bedah siasat dan laporan kimia.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 16 Oktober ini dan tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh.

Terdahulu suasana kecoh di pekarangan mahkamah ketika kedua-dua tertuduh tiba pada jam 9.45 pagi.

Sekumpulan individu dipercayai ahli keluarga bapa kandung mangsa melaungkan takbir dan berteriak kepada kedua-dua tertuduh.

“Apa kau buat dekat anak buah kami… pembunuh, kami mahu keadilan,” katanya.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427