Bank Indonesia sedia campur tangan stabilkan Rupiah kini paras terendah 27 tahun

Estimate Reading Time: < 1 minute

JAKARTA: Bank Indonesia (BI) menyatakan kesediaannya untuk campur tangan dalam pasaran bagi menstabilkan nilai rupiah, yang pada Rabu kekal berhampiran paras terendah sejak 1998, meskipun pihak berkuasa menegaskan sentimen pasaran kekal positif dan asas ekonomi negara masih kukuh.

Pengarah Pengurusan Aset Monetari dan Sekuriti BI, Fitra Jusdiman, berkata terdapat sentimen positif dalam pasaran saham domestik, bon dan pertukaran asing.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas sama ada bank pusat telah campur tangan pada Rabu, tetapi menegaskan bahawa BI sentiasa memantau pasaran dan bersedia mengambil langkah sewajarnya untuk menyokong nilai rupiah.

Pada Selasa, mata wang itu merosot melepasi paras 16,600 rupiah bagi setiap dolar AS, mencatatkan kedudukan terendahnya sejak krisis kewangan Asia 1998.
Setakat 0738 GMT pada Rabu, data LSEG menunjukkan rupiah diniagakan pada 16,585 berbanding dolar AS.
Ketua Dasar Makroprudensial BI, Solikin M. Juhro, berkata asas ekonomi Indonesia kekal kukuh, dengan pertumbuhan ekonomi sekitar 5 peratus, kadar inflasi rendah serta hutang luar negara yang terkawal.

“Dari segi fundamental, kita berada dalam keadaan baik,” katanya kepada media, sambil menegaskan bahawa Indonesia kini jauh lebih berdaya tahan berbanding ketika krisis kewangan Asia 1998.

Sementara itu, Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi, Airlangga Hartarto, turut menegaskan bahawa asas ekonomi negara kekal kukuh meskipun berlaku penyusutan dalam nilai rupiah.
-Reuters
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5464