Banjir Pahang ragut nyawa pertama: Bapa lemas, anak hilang

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUANTAN: Banjir di Pahang meragut nyawa pertama apabila seorang kakitangan Pejabat Hutan Daerah Jerantut lemas manakala seorang anaknya hilang dibawa arus semasa meredah banjir di Kampung Gintong, kira-kira 100 kilometer dari sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Jerantut Supt Mazlan Hassan berkata mangsa Zulkarnain Hitam, 58, ditemukan lemas sekitar 10.30 malam, dipercayai akibat dihanyutkan arus deras semasa berjalan kaki pulang ke rumah  bersama tiga anak lelakinya selepas memindahkan kereta ke kawasan tinggi.

Dalam kejadian itu seorang daripada anak lelakinya Ukai Iskandar, 23, yang merupakan penuntut Universiti Malaysia Pahang (UMP) di Gambang di sini, turut hilang dan sehingga pagi ini masih belum ditemukan.

-Advertisement-

“Kesemua mereka difahamkan berjalan kaki dari Kampung Gintong untuk pulang ke rumah di Taman Perdana yang terletak kira-kira dua kilometer dari lokasi tempat Iskandar meletak kenderaan semasa kejadian berlaku,” katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.

Mazlan berkata dua lagi anak mangsa yang berusia 15 dan 13 tahun bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh orang awam.

Operasi mencari Ukai yang dimulakan sekitar 11 malam melibatkan 17 anggota pasukan mencari dan menyelamat terpaksa dihentikan pada 3.30 pagi ekoran cuaca yang semakin buruk.

-Advertisement-

Mazlan juga menasihatkan orang ramai agar berwaspada dengan perkembangan banjir dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa sepanjang musim banjir bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

— BERNAMA


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427