IPOH: Banjir di Perak semakin memburuk pagi ini apabila 1,682 mangsa daripada 525 keluarga membabitkan lima daerah dipindahkan ke 10 Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Jumlah itu meningkat berbanding 1,605 orang daripada 503 keluarga pada jam 10 malam tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan, setakat jam 8 pagi, kawasan Sungai Siput dalam daerah Kuala Kangsar adalah paling terjejas dengan merekodkan 720 mangsa atau 255 keluarga ditempatkan di tiga PPS.
Daripada jumlah itu, seramai 334 mangsa (132 keluarga) berlindung di PPS Dewan Pandak Hamid, Pusat Sehenti Orang Asli (OAOSC) Bawong.
PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) RLKT Lasah menempatkan 199 mangsa (69 keluarga) dan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Lasah dihuni 187 mangsa (45 keluarga).
Turut terjejas daerah Muallim yang membabitkan 529 mangsa (157 keluarga) dipindahkan ke dua PPS iaitu PPS SK Slim River menempatkan seramai 479 orang (129 keluarga) dan 117 mangsa (28 keluarga) berlindung di PPS SK Kuala Slim.
Sementara PPS Dewan Kampung Batu 4 yang dibuka sejak pagi semalam sudah ditutup secara rasmi 8 pagi tadi.
Di daerah Hulu Perak, seramai 224 mangsa (68 keluarga) dipindahkan ke dua PPS iaitu PPS SK Pahit menempatkan 164 orang (45 keluarga) dan 60 mangsa (23 keluarga) berlindung di PPS SK Kerunai.
Di daerah Kerian, 104 mangsa (34 keluarga) dipindahkan ke dua PPS iaitu SK Parit Haji Aman, Bagan Serai menempatkan 64 orang (20 keluarga) dan 40 mangsa (14 keluarga) berlindung di PPS SK Changkat Lobak.
Di daerah Hilir Perak, semua 38 mangsa (14 keluarga) dipindahkan ke PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak.
Dalam pada itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak melaporkan paras air Sungai Perak dekat Kuala Kenderong di Hulu Perak dan Sungai Perak dekat Kampung Gajah di Perak Tengah masing-masing berada pada paras bahaya, sementara Sungai Sungai Kinta dekat Tanjung Tualang di paras amaran.
-BeritaHarian