KUALA LUMPUR: Jabatan Kerja Raya (JKR) akan melakukan analisa dan membuat keputusan sama ada bangunan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) boleh diduduki atau tidak lagi selamat.
Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Dr Zulkapli Mohamad yang berkata, kerajaan memberikan komitmen itu kepada JKR yang akan mengeluarkan analisa dalam tempoh dua atau tiga minggu ini.
“Kita tunggu daripada JKR dalam tempoh dua atau tiga minggu ini sama ada masih berlaku pergerakan baharu atau pun tidak.
“Buat sementara ini, kita tidak akan membenarkan pegawai-pegawai di MACA bertugas di bangunan ini sehingga kita mendapat ‘clearance’ daripada pihak yang bertanggungjawab,” katanya selepas membuat lawatan di tapak runtuhan, di sini, hari ini.
Yang turut hadir hadir adalah Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Hj Hasnol Zam Zam, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Infra), Datuk Zulkipli Nasri dan Timbalan Pesuruhjaya SPRM, Datuk Idris Zaharudin.
Kelmarin, tanah runtuh dilapor berlaku berdekatan bangunan MACA milik SPRM di Persiaran Tunku Syed Sirajuddin, di sini tengah hari tadi.
Kejadian dikatakan berpunca takungan air susulan hujan lebat sejak beberapa hari lalu serta paip bawah tanah yang pecah, turut menyebabkan pondok keselamatan di bangunan berkenaan runtuh.
Semalam, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kejadian runtuhan cerun di bukan disebabkan faktor semulajadi sebaliknya berpunca akibat kebocoran kepada sistem perpaipan bekalan air, di kawasan itu.
Sementara itu, ditanya mengenai pergerakan tanah baharu yang berlaku di kawasan runtuhan itu, Zulkapli berkata, pihaknya belum mendapat maklumat lanjut memandangkan sistem pengesan akan dipasang hari ini
Beliau berkata, kerja-kerja membaik pulih akan bermula hari ini.
“Insya-Allah, kerja-kerja membaik pulih di peringkat awal akan bermula hari ini dan dijangka selesai dalam tempoh seminggu dua nanti.
“Apabila selesai kerja-kerja ini,akan ada jalan alternatif bagi membolehkan kenderaan-kenderaan yang terperangkap dalam bangunan itu dikeluarkan,” katanya. – Berita Harian