Ballon d’Or kali ini tanpa Messi, Ronaldo

Estimate Reading Time: 2 minutes

PARIS: Lionel Messi tidak akan memenangi satu lagi anugerah Ballon d’Or tahun ini selepas diketepikan daripada senarai calon yang diumumkan penganjur semalam, ketika bintang Sepanyol yang memenangi Euro 2024 dan pemenang Liga Juara-Juara, Real Madrid mengungguli senarai itu.

-Advertisement-

Messi merangkul Ballon d’Or kali kelapan dalam kariernya yang penuh gemilang tahun lalu.

Kini berusia 37 tahun, dia tidak berada dalam senarai 30 calon kali ini sekalipun memenangi satu lagi kejuaraan bersama Argentina pada Copa America Julai lalu.

Bekas superstar Barcelona itu, kini memperagakan aksi bola sepak kelab di MLS bersama Inter Miami, turut terkeluar daripada senarai calon pada tahun 2022 bila mana Karim Benzema memenangi anugerah itu.

Bagaimanapun, dia kembali memenanginya tahun lalu selepas mengemudi Argentina meraih kegemilangan pada Piala Dunia di Qatar.

Anugerah bola sepak paling berprestij itu diundi oleh panel wartawan dari setiap 100 negara teratas dalam ranking dunia FIFA.

Penyerang Brazil, Vinicius Jr antara kalangan pilihan dan seorang daripada enam pemain Madrid yang memenangi La Liga dan Liga Juara-Juara musim lalu dicalonkan.

Jude Bellingham, Dani Carvajal, Toni Kroos, Antonio Rudiger dan Federico Valverde turut berada dalam senarai, manakala Kylian Mbappe – yang meninggalkan Paris Saint-Germain untuk berpindah ke Real hujung musim lalu – turut dicalonkan.

-Advertisement-

Carvajal antara pencabar daripada pasukan juara Sepanyol di samping Alejandro Grimaldo, Dani Olmo, Rodri, Nico Williams dan Lamine Yamal.

Bintang Manchester City dari Norway, Erling Haaland serta penyerang England dan Bayern Munich, Harry Kane turut berada dalam senarai pencalonan, tetapi tiada tempat buat pemenang lima kali Cristiano Ronaldo, yang kini berusia 39 tahun.

Xabi Alonso, yang menjuarai Bundesliga tanpa kalah sepanjang musim bersama Bayer Leverkusen, antara pilihan utama bagi jurulatih terbaik.

Pencabarnya termasuk pengurus Real Madrid, Carlo Ancelotti dan jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente.

Sementara itu, Aitana Bonmati dari Barcelona dan Sepanyol berharap dapat mengekalkan mahkota Ballon d’Or kategori wanita.

Bekas pemenang Ada Hegerberg dan Alexia Putellas turut dicalonkan, di samping lima pemain Amerika Syarikat yang memenangi pingat emas Sukan Olimpik – Sophia Smith, Mallory Swanson, Trinity Rodman, Lindsey Horan dan penjaga gol Alyssa Naeher.

Majlis anugerah Ballon d’Or akan berlangsung di Paris pada 28 Oktober ini.
-AFP
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427