Baki lima ekar tanah pelengkap pembangunan KL Sentral

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) dijangka membangunkan kawasan seluas lima ekar lagi daripada 60 ekar tanah pembangunan asal Stesen Sentral Kuala Lumpur (KL Sentral) yang juga hab pengangkutan awam utama di ibu negara, tidak lama lagi.

-Advertisement-

Rancangan pembangunan itu selepas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, semalam mengumumkan Kabinet meluluskan secara prinsip cadangan berkaitan pembangunan semula KL Sentral membabitkan penswastaan yang dianggarkan menelan belanja lebih RM1 bilion.

Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) dalam satu nota penyelidikan berkata, baki lima ekar tanah pembangunan asal itu adalah peluang yang tepat pada masanya untuk memperkukuhkan tawaran komersial MRCB di lokasi utama dan strategik.

Katanya, projek mega itu secara keseluruhannya mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM18 bilion dan kini lebih 200,000 penumpang melalui KL Sentral setiap hari.

“KL Sentral sebelum ini dibina untuk kapasiti harian sebanyak 100,000 penumpang dan sudah melalui beberapa projek naik taraf,” katanya.

HLIB berkata, pembangunan berorientasikan transit (TOD) lain yang membabitkan MRCB ialah PJ Sentral, Penang Sentral, Kwasa Sentral dan Pusat Bandar Cyberjaya.

“Memandangkan projek itu akan dilakukan secara inisiatif kewangan swasta (PFI), garis masa akan menjadi agak panjang, apabila unit kediaman dan komersial dibangunkan dan dijual.

“Ini akan berlaku sebaik sahaja pembangunan semula stesen selesai,” katanya.

HLIB berkata, daripada penyelidikan pihaknya, permintaan untuk kawasan KL Sentral adalah kukuh dengan pembangunan kediaman menyaksikan kadar pengambilan lebih 85 peratus.

-Advertisement-

Katanya, berdasarkan pengiraan selepas pelupusan Menara CelcomDigi, projek mega itu secara berasingan boleh meningkatkan nisbah modal berbanding hutang bersih MRCB daripada 0.27 kali kepada 0.49 kali yang masih boleh diurus.

“Namun, jika MRCB melaksanakan projek itu serentak dengan pembangunan semula Stadium Shah Alam (melebihi RM1 bilion), ini boleh menjadikan nisbah modal berbanding hutang melebihi 0.49 kali, mengikut anggaran kami,” katanya.

HLIB mengekalkan saranan ‘beli’ terhadap saham MRCB dengan sasaran harga 34 sen.

Loke pada Rabu mengumumkan pembangunan semula KL Sentral akan membabitkan penswastaan dan dianggarkan menelan belanja lebih RM1 bilion.

Beliau berkata KL Sentral akan dibangunkan semula dengan kerjasama MRCB, yang juga pemaju keseluruhan projek KL Sentral, tanpa melibatkan implikasi kewangan kepada kerajaan.

Sebagai pulangan, MRCB akan mendapat ‘air rights’ untuk membina bangunan komersial atau kondominium dan kerajaan mendapat stesen moden yang canggih untuk keperluan penumpang.

Beliau berkata, meskipun kerajaan sudah bersetuju secara prinsip, ia masih tertakluk kepada perbincangan lanjut antara Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri serta MRCB dan kedua-dua pihak diberikan tempoh maksimum dua tahun untuk berbuat demikian.

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427