‘Baik bantu cegah rasuah daripada tuding jari’ – penganalisis

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Ahli politik negara ini dinasihati untuk lebih berusaha menjauhi rasuah dan menjadi suri teladan kepada masyarakat, berbanding menuding jari memainkan sentimen bangsa, kaum atau agama dalam isu berkenaan.

-Advertisement-

Penganalisis Rasuah, Noor Mohamad Shakil Hameed, berkata secara prinsip adalah tidak wajar mengaitkan isu berkenaan dengan agama dan kaum, kerana semua agama dan kaum melarang perbuatan memberi dan menerima rasuah.

Katanya, isu rasuah tidak harus dijadikan gimik dan propaganda politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) sebaliknya ahli politik perlu memainkan lebih peranan untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk bersama-sama membanteras akar umbi rasuah.

“Tidak wajar untuk kita menuduh mana-mana kaum sebagai punca berleluasanya rasuah di negara kita, sebaliknya perlu melihat fakta bahawa setiap kes yang berlaku adalah membabitkan pelaku, tanpa merujuk kepada anutan agama mahu pun bangsanya.

“Lazimnya ia membabitkan soal sikap, tingkah laku dan tahap integriti seseorang individu. Mengaitkan ia dengan kaum dan agama adalah satu konotasi yang tidak betul serta boleh mencetuskan masalah provokasi perkauman dan perbalahan sesama anggota masyarakat,” katanya kepada BH, di sini hari ini.

BH semalam melaporkan, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa orang bukan Islam paling ramai ditangkap atas kesalahan memberi dan menerima rasuah.

-Advertisement-

Beliau mendakwa apa yang dikatakannya itu adalah benar dan fakta.

Mohamad Shakil berkata, dalam membicarakan rasuah, perspektif yang lebih tepat iaitu sikap dan tingkah laku individu yang mempengaruhi perlakuan mereka sama ada memberi atau menerima rasuah perlu diteliti.

“Dari segi data statistik, tangkapan SPRM pada 2022 menunjukkan daripada keseluruhan 909 tangkapan, hanya 323 yang membabitkan penjawat awam yang lazimnya merupakan sektor yang dikuasai majoriti oleh kaum Melayu, berbanding tangkapan seramai 586 orang dari kategori awam mencakupi pihak swasta, orang awam dan lain-lain yang terdiri dari kalangan pesalah pelbagai bangsa.

“Bagi tempoh Januari hingga Jun 2023 pula, data menunjukkan 223 tangkapan membabitkan kategori penjawat awam, manakala 439 membabitkan kategori swasta, orang awam dan lain-lain.

“Jadi kita tidak boleh terus membuat suatu rumusan hanya berdasarkan data seperti ini dengan mengaitkan kaum dan agama tertentu sebagai pelaku atau punca utama rasuah,” katanya.

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427