PONTIAN- Hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai hanya tinggal tiga hari, dengan bahangnya begitu dirasai dan kesannya boleh dilihat apabila hampir kesemua hotel dan inap desa di daerah Pontian sudah penuh ditempah.
Kempen PRK kali ini bermula 2 Nov lepas dengan proses penamaan calon, tetapi pengusaha hotel dan inap desa di sini berkata tempahan untuk seminggu terakhir PRK ini telah dilakukan sebulan sebelum itu.
Bermula hujung September lagi, rata-rata hotel dan inap desa di sepanjang jajaran 34 kilometer dari bandar Pontian hingga ke Taman Negara Tanjung Piai, Kukup tidak menang tangan dengan lambakan tempahan pelanggan.
Tinjauan Bernama sejak beberapa hari lepas mendapati rata-rata hotel dan inap desa di sekitar Tanjung Piai, dipenuhi dengan pelanggan khususnya mereka yang terlibat dalam PRK itu. Malah, ada inap desa yang dijadikan sebagai bilik gerakan parti politik dan rumah penginapan bagi jentera kempen masing-masing.
Pemilik sebuah inap desa, Md Salleh Yahya, 64, menganggap demam PRK itu ibarat durian runtuh yang membawa rezeki kepadanya serta pengusaha rumah penginapan di sekitar Parlimen Tanjung Piai serta Parlimen Pontian, yang terletak bersebelahan.
“Sejak sebelum tarikh penamaan calon lagi, kami menerima tempahan…ada yang tempah lebih tiga minggu. Alhamdulillah, memang sambutan di luar jangkaan kami.
“…bukan setakat hotel, homestay (inap desa), desastay ke, rumah yang sebelum ini tak pernah jadi homestay pun dah jadi homestay,” katanya yang memiliki sebuah inap desa yang didaftarkan di bawah DesaStay Kampung Permas Besar.
Sementara itu pemilik hotel, Cheah Kim Boon, 59, berkata sehingga hari ini, hampir setiap hari hotelnya menerima panggilan telefon daripada pelanggan yang mahu menempah bilik.
“Walaupun ada hotel kami berada di luar kawasan Tanjung Piai, namun tempahan yang diterima tidak putus-putus sebelum hari penamaan calon lagi.
“Sehingga hari ini, kami masih menerima panggilan yang bertanyakan sama ada masih ada bilik yang kosong khususnya bagi tarikh 13 hingga 17 Nov ini,” jelasnya yang memiliki tiga cawangan hotel di sekitar bandar Pontian.
Turut menerima tempias limpahan ekonomi adalah peniaga gerai makanan, restoran dan perkhidmatan kanopi serta katering.
Di Kampung Serkat Laut, Serkat, peniaga gerai lontong, Mariam Ali, 54, berasa amat bersyukur kerana jumlah pelanggannya meningkat sejak dua minggu lepas.
“Kawasan kampung jumlah pelanggan hanya biasa, tapi sejak PRK ini ramai datang makan di sini, ada juga golongan VIP dan pemimpin makan di gerai saya,” katanya.
Bagi pengusaha khemah dan kanopi, Roslan Tajuddin, 53, atau mesra disapa Pak Lan, berkata hampir semua 40 unit khemah miliknya disewa oleh jentera politik yang bertanding selain untuk tujuan majlis perkahwinan.
Sejak seminggu lepas, kawasan sekitar Tanjung Piai di sini ibarat tidak ‘tidur’ dengan kebanjiran orang ramai yang datang dari pelbagai lokasi seluruh negara sempena PRK itu.
Tinjauan juga mendapati berbaki tiga hari lagi menjelang hari pengundian pada Sabtu ini, suasana di Tanjung Piai terus sesak dan dibanjiri orang ramai.- BERNAMA