Bagi keluarga miskin, pembelajaran dalam talian menyusahkan

Estimate Reading Time: 3 minutes

PETALING JAYA: Pada saat murid-murid tidak dapat ke sekolah hingga selewat-lewatnya 4 Feb, kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah dan mereka di kawasan luar bandar terhalang daripada mengikuti kelas dalam talian kerana tidak memiliki peranti mahupun sambungan internet.

-Advertisement-

Sementara perintah kawalan pergerakan (PKP) Mac lalu mengejutkan banyak ibu bapa yang cuba menyesuaikan diri dengan pembelajaran dalam talian, namun bagi Umadevi Satha Udaia Perasagam, “tiada yang berbeza” ketika PKP 2.0.

“Bagaimana mereka boleh belajar? Kami tiada komputer riba dan anak-anak hanya berkongsi telefon pintar saya,” kata Umadevi, yang tinggal berdekatan Bandar Sunway, Selangor.

“Guru perlu faham bukan semua keluarga mempunyai komputer riba atau telefon pintar.”

Bekas pembantu sambilan di sebuah klinik itu diberhentikan kerja oleh majikannya tahun lalu sewaktu PKP kali pertama.

Suaminya kehilangan pekerjaan di gudang pada Dis 2010 selepas menjalani pembedahan pintasan jantung, dan keluarga itu kini bergantung pada pendapatan Umadevi yang menjual makanan di gerai tepi jalan.

Tahun lalu, Umadevi berbelanja hampir RM200 untuk membuat salinan foto bahan kerja rumah anak-anaknya seperti yang disyaratkan oleh sekolah.

Ketiadaan pengangkutan juga menghalangnya pergi ke sekolah untuk mendapatkan bahan pembelajaran.

Sukarelawan persatuan kebajikan Hope Selangor, Prema Thiyagu, berkata pembelajaran dalam talian “tidak berkesan”.

Prema mengagihkan bungkusan makanan kepada beratus-ratus orang setiap hari di Petaling Jaya, Subang, Shah Alam, Puchong, and Ara Damansara sejak PKP pertama Mac lalu.

Beliau melihat sendiri kesukaran yang dihadapi kumpulan B40 dalam komuniti berpendapatan rendah bagi memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan yang sempurna.

Keadaan sebenar kehidupan di kawasan PPR

“Kami turun padang (melakukan kerja sosial) dan menyaksikan keadaan sebenar di PPR (Projek Perumahan Rakyat) dan projek perumahan kos rendah yang lain.

“Pertama, mereka perlukan sambungan internet dan peranti. Keluarga ini tidak mampu membeli komputer riba dan telefon pintar untuk semua anak mereka. Mereka selalunya, hanya berkongsi,” kata Prema.

Bagi keluarga yang memiliki peranti yang boleh digunakan oleh anak-anak mereka untuk mengakses platform pembelajaran dalam talian, sambungan internet menjadi penghalang seterusnya.

“Mereka tidak boleh guna sambungan prabayar. Mereka perlu sambungan yang stabil kerana perlu menggunakan aplikasi seperti Google Meet dan Google Classroom, jadi mereka perlukan WiFi,” kata Prema.

“Kebanyakan yang kami lihat, mereka (keluarga B40) tidak memiliki akses internet sebegini.

-Advertisement-

“Kami dengar kerajaan memberikan pakej (untuk akses internet), tetapi kami tidak tahu sejauh mana ia boleh diakses.”

Bagi yang lain, seperti pekerja kilang di Pulau Pinang yang ingin dikenali sebagai Rashid, video yang kabur dan audio yang tidak jelas menjejaskan minat anak-anaknya pada pembelajaran atas talian.

Rashid, dari Bayan Baru, berkata, guru akan berhubung dengan pelajar melalui panggilan video WhatsApp – tetapi sambungan internet tetap menjadi masalah yang berterusan.

“Walaupun guru mereka menghantar kerja rumah melalui WhatsApp, namun sistem panggilan video tidak begitu bagus.

“Saya tinggal di rumah pangsa dan tidak memiliki (sambungan) jalur lebar. Kami menggunakan plan data dan taliannya tidak jelas,” katanya.

Guna telefon, bukannya komputer

Rashid, 34, yang berpendapatan sekitar RM2,500 sebulan, tidak mampu membeli komputer riba untuk anak-anak, jadi beliau membelikan mereka telefon untuk mengikuti pembelajaran dalam talian.

“Paling tidak, jika kami diberi komputer dan Internet yang elok, anak-anak saya dapat belajar dengan mudah,” katanya.

Akses internet adalah masalah yang lebih besar lagi bagi penduduk luar bandar seperti Diana Dennis Oh, seorang ibu kepada dua anak dari Keningau, Sabah.

Katanya, beliau perlu membawa anak-anaknya 6km dari rumah hanya untuk mendapatkan sambungan internet yang stabil dua hari kebelakangan ini, sejak tahun persekolahan baru bermula.

Beliau juga harus mencari masa untuk mengimbangkan pelajaran mereka dengan tanggungjawabnya di tempat kerja.

Beliau berkata anak-anaknya masih dalam “fasa penyesuaian” dalam tahun persekolahan baharu, dan berharap kelonggaran dan empati daripada pihak berkuasa sekolah berkenaan kehadiran pelajar.

Katanya, mereka perlu memahami kesukaran yang dihadapi ibu bapa berkenaan pembelajaran dalam talian.

Katanya, PKP 2.0 “lebih bagus sedikit” kerana guru anak-anaknya tidak lagi meminta banyak gambar mereka membuat kerja rumah.

Beberapa guru, katanya, memberikan kelonggaran dengan membenarkan anak-anaknya menghantar kerja rumah pada waktu malam.

“Sekiranya berlaku apa-apa kepada anak-anak saya (ketika mereka mencari sambungan internet yang stabil di luar), saya hanya mempunyai satu soalan – adakah mereka (sekolah) akan bertanggungjawab (jika anak-anaknya dijangkiti)?”.

-BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427