Liverpool: Penyokong setia Liverpool mungkin berasa bimbang selepas Andre Marriner akan mengadili perlawanan penting dan terakhir kelab itu di Liga Perdana apabila bertemu Crystal Palace, Ahad ini.
Kemenangan 3-0 ke atas Burnley di Turf Moor meletakkan skuad bimbingan Jurgen Klopp kembali menduduki tangga keempat liga sekali gus memastikan mereka di landasan tepat memburu tiket Liga Juara-Juara musim depan.
Liverpool berkongsi 66 mata dengan Leicester di tempat kelima dan hanya mempunyai kelebihan jaringan sekali gus kemenangan ke atas Palace akan menjamin tempat ke saingan Eropah.
Bekas pengurus kelab gergasi itu, Roy Hodgson yang kini membimbing Palace, mungkin mampu memusnahkan impian Liverpool meskipun ia adalah penampilan terakhirnya membimbing Palace dan kemudian bersara pada usia 73 tahun.
Namun perkara paling dibimbangi oleh Liverpool dan penyokongnya adalah pelantikan Marriner yang akan mengadili perlawanan berkenaan kerana beliau dianggap tidak memberikan tuah kepada Liverpool musim ini.
Pengadil berusia 50 tahun dari Birmingham itu sudah mengendalikan empat perlawanan membabitkan Liverpool sebelum ini dan anak buah Klopp gagal memenangi kesemua perlawanan itu.
Kali pertama ketika Piala Sumbangsih di Wembley, Ogos lalu yang menyaksikan perlawanan dengan Arsenal berkesudahan seri 1-1 selepas tamat permainan sebenar namun Liverpool akhirnya tewas menerusi penentuan penalti.
Kemudian Liverpool sekadar seri 1-1 dengan pasukan yang sudah tersingkir, Fulham, Disember tahun lalu.
Keputusan selepas itu lebih malang apabila Liverpool tewas 0-1 kepada Southampton di tempat lawan pada Januari lalu dengan Klopp mempersoalkan beberapa keputusan Marriner.
Marriner kemudian berkunjung ke Anfield untuk mengendalikan perlawanan antara Liverpool dan Newcastle yang berakhir seri 1-1.-METRO