KUALA LUMPUR: Penguatkuasaan peraturan atau prosedur yang mewajibkan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) sentiasa diaudit adalah penting bagi memastikan dana awam diuruskan dengan betul dan berhemat.
Selain itu, penguatkuasaan juga penting bagi memastikan amalan tadbir urus serta tatakelola berada pada tahap yang betul.
Penganalisis Rasuah, Noor Mohamad Shakil Hameed, berkata pengauditan wajar dilihat dalam konteks boleh membantu mencegah sesuatu perkara menjadi lebih serius atau parah yakni boleh diambil tindakan pembetulan dengan segera.
“Ia terutamanya ketika audit dilaksanakan, didapati berlaku sesuatu tadbir urus yang tidak betul.
“Justeru proses pengauditan perlu jadi budaya wajib dalam semua organisasi terutama yang berkepentingan awam seperti GLIC supaya dapat mengelak atau mengurangkan risiko kerugian,” katanya kepada BH.
Mengulas lanjut, Noor Mohamad Shakil berkata kerajaan menerusi Kementerian Kewangan (MOF) perlu memantau prestasi dan operasi GLIC agar sentiasa berada di landasan yang betul serta mencapai sasaran dan matlamat ditetapkan selain mengamalkan tadbir urus yang betul.
Perlu dipastikan bahawa dana awam yang diamanahkan itu diuruskan dengan penuh integriti dan bertanggungjawab.
“Selain itu, wajar juga kerajaan melihat kemungkinan GLIC diletakkan di bawah pemantauan Parlimen supaya proses pemantauan serta semak dan imbang dapat dilakukan secara lebih terbuka dan telus.
“Hal ini penting kerana membabitkan dana awam yang besar, justeru tanggungjawab dan akauntabiliti Ahli Lembaga Pengarah GLIC perlu ditingkatkan dan saya percaya jika GLIC dipantau oleh Parlimen perkara ini dapat dipertingkatkan,” katanya.
Parlimen juga boleh memastikan lantikan Ahli Lembaga Pengarah GLIC dapat dilakukan dalam kalangan golongan profesional dan berkelayakan bagi membolehkan GLIC mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan.
Mengulas mengenai pertimbangan sebelum sesuatu keputusan dibuat membabitkan pelaburan dana awam, Noor Mohamad Shakil berkata, meskipun status untung atau rugi sukar diramal dalam hal ehwal pelaburan atau perniagaan, unsur risiko serta kemungkinan yang berlaku perlu diberi keutamaan dan pertimbangan yang sewajarnya sebelum sesuatu keputusan pelaburan dibuat.
Lembaga pengarah GLIC perlu pastikan due diligence dipatuhi
“Dalam hal ini, pihak Ahli Lembaga Pengarah GLIC perlu memastikan segala proses usaha ketekunan wajar (due diligence) mencakupi semakan terhadap latar belakang perniagaan atau syarikat serta prospek dan potensi masa hadapan bidang terbabit diambil kira sebelum keputusan pelaburan dibuat.
“Ironinya, Ahli Lembaga Pengarah GLIC sewajarnya jelas dan telus ketika membuat keputusan seterusnya bersedia memikul tanggungjawab di atas keputusan yang dibuat,” katanya.
Sementara itu, Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata perlunya ada badan pemantau untuk memastikan tatakelola dipatuhi oleh semua GLIC.
“Walaupun sudah ada unit audit dalaman dan juga juruaudit luar, namun masih tetap berlaku kes-kes ketidakcekapan.
“Dalam hal ini, pihak ketiga yang berkecuali iaitu anggota jawatankuasa khas yang dilantik dari pakar-pakar industri dan wakil orang ramai juga diperlukan,” katanya.
Baru-baru ini tular, kes kerugian pelaburan Khazanah Nasional Bhd (KHAZANAH) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) terhadap portal e-dagang fesyen, FashionValet Sdn Bhd (FV).
FV menjadi tumpuan berikutan kerugian pelaburan ditanggung oleh Khazanah dan PNB.
Syarikat berkenaan dilapor mengalami kerugian lima tahun berturut-turut sebelum dua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan itu melabur.
Semakan pemfailan akaun kewangan syarikat antara 2012 dan 2017 menunjukkan kerugian FV meningkat kepada RM10.7 juta pada 2017 berbanding RM166,793 pada 2012, sebelum pelaburan Khazanah dan PNB dalam syarikat itu pada 2018.
Maklumat kewangan itu diperoleh daripada pemfailan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
-BeritaHarian