KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerima sumbangan bernilai RM2.16 juta sempena Aidilfitri ini bagi menghargai perjuangan dan jasa perajurit kepada negara.
Kementerian Pertahanan berkata, sebanyak 79 syarikat, badan korporat dan individu menyumbang kepada ATM, sekali gus membolehkan pihaknya menyediakan 15,000 beg barangan yang akan diserahkan kepada perajurit dan pertiwi negara bertugas menjaga keselamatan perbatasan dan kesejahteraan ketika sambutan Aidilfitri.
“Ia membabitkan ketiga-tiga cabang perkhidmatan Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Majlis itu turut dihadiri Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan yang menyempurnakan penyampaian sumbangan dalam bentuk beg berisi pelbagai barangan sebagai simbolik penyerahan.
Ia diserahkan kepada Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Affendi Buang; Panglima Tentera Laut, Datuk Abdul Rahman Ayob; Panglima Tentera Udara, Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan dan Datuk Mohamad Hafizuddeain Jantan yang mewakili Panglima Tentera Darat.
Barangan sumbangan itu diterima dan dikumpul serta dilaksanakan pembungkusan semula oleh isteri pegawai dan anggota ATM yang berganding bahu menjadi tulang belakang membantu menjayakan keperluan ATM selama ini.
Mohamad turut menyampaikan sumbangan kepada Pengerusi Jemaah Tertinggi Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) ATM, Tengku Puteri Tengku Muhaini Sultan Ahmad Shah.
Mohamad juga mewakili kementerian menerima sumbangan zakat, wakalah dan waad yang diserahkan wakil daripada lapan agensi.
“Jumlah keseluruhan zakat, wakalah dan waad yang disumbangkan berjumlah RM 2.01 juta yang diterima daripada Affin Islamic Bank Berhad, Koperasi Tentera, Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang.
“Selain itu, Pusat Kutipan Zakat Negeri Pahang, Lembaga Zakat Negeri Kedah, Zakat Pulau Pinang, Lembaga Zakat Negeri Selangor dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan,” katanya – Berita Harian