KUALA LUMPUR: Nepal jelas perlu berhati-hati selepas pengendali skuad kebangsaan, Peter Cklamovksi tampak terus dapat menyusun ‘kepingan’ terbaiknya dalam rangka persiapan menuju ke perlawanan pertama pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Sultan Ibrahim, Selasa ini.
Cklamovski mendapat ‘berita baik’ malam tadi kerana bukan setakat dua pemain berdarah kacukan baharu tiba untuk menyertai pasukan namun pemain sensasi negara, Arif Aiman Hanapi turut kembali bersama pasukan selepas tidak kelihatan pada dua hari pertama sejak Isnin lalu.
Menerusi perkongsian di laman rasmi pasukan kebangsaan Malaysia NT, kelibat Pemain Paling Bernilai Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) tiga tahun berturut-turut itu menggembirakan penyokong seperti yang dapat disaksikan di bahagian komen laman terbabit.
Difahamkan, Arif Aiman mengalami kecederaan ringan selepas aksi Liga Super menentang Penang FC namun kehadirannya dalam skuad kebangsaan sudah pasti melegakan barisan kejurulatihan meskipun kelibat pemain berdarah kacukan, Natxo Insa masih belum kelihatan.
Berdasarkan reputasi dan prestasi ditunjukkan pemain sayap lincah itu, Arif Aiman tampak bakal terus menjadi antara watak penting dalam skuad kebangsaan sekalipun sudah bertukar teraju di bawah kendalian Cklamovski.
Dalam perkembangan sama, dua pemain warisan baharu Malaysia turun menyertai sesi latihan skuad kebangsaan iaitu tonggak tengah Portimonense SC, Hector Hevel dan pemain pertahanan CD Tenerife B, Gabriel Palmero.
Kehadiran dua pemain baharu ini pasti memberi lebih pilihan kepada Cklamovksi untuk mengatur strategi yang lebih mantap dalam misi membuka kempen kelayakan kali ini dengan tiga mata pertama.
Meskipun belum pasti sama ada dua pemain ini mendapat slot ‘automatik’ dalam kesebelasan utama, setidak-tidaknya kelibat mereka mampu mencetuskan persaingan sengit yang sihat dalam kalangan pemain bagi merebut tempat.
Sebagai rekod, kempen kelayakan kali ini menyaksikan Malaysia diundi Kumpulan F bersama Nepal dan juga dua seteru ASEAN, Vietnam dan Laos dengan Vietnam disifatkan menjadi pencabar terbesar skuad negara dalam misi ke Arab Saudi.
Pusingan kelayakan ini jelas memberikan cabaran yang sukar memandangkan hanya juara kumpulan akan melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia 2027.
-BeritaHarian