KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadang memansuhkan penggunaan surat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi perjalanan rentas negeri dan daerah atau pengoperasian industri dan perniagaan kerana tidak memberi jaminan pembawa surat itu bebas COVID-19.
Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjung Karang) berkata, sebaliknya Kementerian Kesihatan (KKM) seharusnya diberi kuasa mengeluarkan surat berkenaan berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang sudah ditambah baik.
“Hentikanlah keluarkan surat MITI sebab apa jaminan pembawa surat MITI itu bebas daripada virus.
“KKM sepatutnya melaksanakan SOP baharu, pastikan sesiapa yang mahu rentas negeri, membuka perniagaan, KKM mengeluarkan surat kebenaran bersama pengesahan individu itu bebas daripada jangkitan COVID-19,” katanya pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini.-BH