Anugerah Akademi Ke-93, BAFTA ditangguh tahun depan

Estimate Reading Time: < 1 minute

LOS ANGELES: Penganjur Anugerah Akademi mengumumkan edisi ke-93 acara berprestij itu ditangguhkan tahun depan, berikutan pandemik COVID-19.

-Advertisement-

Academy of Motion Pictures Arts and Sciences (AMPAS) mengumumkan Anugerah Akademi akan diadakan pada 25 April tahun depan, bertujuan memberi masa kepada penggiat seni yang terjejas akibat virus bahaya itu.

Presiden AMPAS, David Rubin dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Dawn Hudson dalam kenyataan kepada AFP memberitahu, banyak filem terpaksa menunda tarikh tayangan sehingga pawagam dibuka.

Malah, kata mereka, tarikh akhir bagi filem yang layak dicalonkan dilanjutkan kepada dua bulan, iaitu sehingga akhir Februari depan.

“Harapan kami dengan melanjutkan tempoh kelayakan dan tarikh acara akan memberi fleksibiliti kepada pembuat filem untuk menghabiskan dan melancarkan karya mereka tanpa dikenakan tindakan atas sesuatu yang di luar kawalan,” kata kenyataan itu.

Mengikut perancangan awal, Anugerah Akademi Ke-93 diadakan pada 28 Februari 2021.

Sementara itu, semua kategori filem perlu mendaftarkan kelayakan masing-masing, selewat-lewatnya pada 15 Januari 2021.

Bagi kategori khas seperti filem animasi, dokumentari dan filem antarabangsa, tempoh ditetapkan adalah sehingga 1 Disember 2020.

-Advertisement-

Anugerah Akademi atau Oscar dianggap acara terpenting dalam kalendar industri perfileman Hollywood sejak hampir 100 tahun lalu.

Dianjurkan pada Februari setiap tahun, Anugerah Akademi menghimpunkan seluruh karyawan filem Amerika Syarikat (AS) dan mengiktiraf karya serta individu yang bekerja di belakang tabir.

Sementara itu, penganjur Anugerah Akademi British (BAFTA) mengumumkan acara itu akan diadakan pada 11 April 2021, dua minggu sebelum berlangsungnya Anugerah Akademi.

“Acara yang dijadual berlangsung pada 14 Februari 2021 terpaksa ditunda kepada April berikutan dunia berdepan pandemik COVID-19.

“Malah, syarat pendaftaran untuk penyertaan anugerah ini juga akan dilanjutkan. Kami akan mengumumkan perkembangan lanjut pada masa depan,” kata jurucakap penganjur seperti dilaporkan portal Variety.

BAFTA juga dilaporkan sedang berbincang menimbang syarat baharu dengan mengambil kira filem yang ditayang di platform digital mengambil bahagian dalam pencalonan bagi 2021.

– AGENSI


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427