Angka korban gempa bumi di Albania meningkat kepada 21 orang

Estimate Reading Time: < 1 minute

TIRANA- Angka korban akibat bencana gempa bumi di Albania pada Selasa pagi meningkat kepada 21 orang dan pasukan penyelamat meneruskan usaha mencari mangsa yang masih hidup, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan pihak berkuasa.

-Advertisement-

Gempa berukuran 6.3 pada skala Richter itu melanda Albania pukul 3.55 pagi waktu tempatan dan memusnahkan bangunan, pangsapuri serta hotel di bandar pelabuhan Durres dan pekan berhampiran iaitu Thumane.

Menurut Menteri Pertahanan Albania Olta Xhacka, setakat pukul 6.30 petang waktu tempatan, terdapat 21 mangsa yang terkorban dan mayat mereka dibawa keluar dari reruntuhan puing di kawasan terjejas.

“Ini adalah gempa bumi terkuat yang pernah dialami negara ini sejak 1979 dan ia disusuli 250 gegar penghujung,” kata Xhacka.

Menurut Kementerian Pertahanan, lebih 600 orang cedera dan telah dikejarkan ke hospital.

Bercakap kepada pemberita pada pukul 8 malam waktu tempatan, Perdana Menteri Albania Edi Rama berkata jumlah mangsa yang diselamatkan di bawah runtuhan di Durres dan Thumane mencecah 44 orang.

-Advertisement-

Menurut Rama, angka korban mungkin meningkat dalam tempoh beberapa jam akan datang kerana masih ramai mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan dan beliau berharap mereka akan dapat diselamatkan.

Terdahulu, kerajaan Albania mengisytiharkan Rabu sebagai hari perkabungan rasmi dan bendera negara di bangunan rasmi akan dikibar separuh tiang.

Kementerian Pendidikan, Sukan dan Belia memaklumkan bahawa kelas telah dibatalkan di semua sekolah di seluruh Albania pada Rabu.

Kem-kem dengan khemah telah didirikan di stadium Durres dan Thumane, yang bakal menjadi pusat perlindungan penduduk tempatan yang kediaman mereka musnah atau rosak.

Dalam satu temu bual dengan media tempatan News 24, pakar seismologi Albania Rrapo Ormeni berkata gempa pada Selasa adalah antara 55 gempa bumi terkuat yang pernah melanda negara itu.

Pasukan penyelamat Albania di Durres dan Thumane pada Selasa telah disertai lebih 200 pakar kecemasan sivil dari Itali, Greece, Perancis, Turki, Croatia, Montenegro, Romania dan Amerika Syarikat.- BERNAMA


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427