Andre, Farah atlet terbaik Sabah

Estimate Reading Time: 2 minutes

KOTA KINABALU: Pemenang pingat emas lompat kijang Sukan SEA Vietnam 2022, Andre Anura @ Anuar dan pesilat negara, Nor Farah Mazlan dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Sabah 2021/ 2022.

-Advertisement-

Kedua-dua atlet kebangsaan itu menerima anugerah yang disampaikan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin pada Anugerah Sukan Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, malam tadi.

Selain pingat emas Sukan SEA Vietnam, Andre turut memenangi emas acara lompat kijang Terbuka Pahang 2022, dan memecahkan rekod lompat jauh kebangsaan berusia 12 tahun milik Josbert Tinus dengan lompatan 8.02 meter untuk meraih perak pada Sukan SEA ke-30 di Filipina pada 2019.

Mengulas mengenai kejayaan itu, atlet berumur 23 tahun itu menyatakan kesyukuran atas pencapaiannya.

“Saya tidak menjangka dipilih sebagai olahragawan sebab pada 2021 saya kurang menyertai kejohanan di luar negara. Hanya pada tahun lalu banyak kejohanan yang saya sertai.

“Saya bersyukur atas anugerah ini dan akan terus berusaha untuk mengekal serta meningkatkan lagi pencapaian saya dalam acara lompat kijang,” katanya.

Sementara itu, Nor Farah berjaya melakar beberapa pencapaian menarik sepanjang kariernya termasuk meraih emas pada Kejohanan Pencak Silat Dunia Ke-19 di MTC Melaka dalam Kategori Puteri Kelas A tahun lalu.

-Advertisement-

Pada Kejohanan Pencak Silat Asia Tenggara Kelapan di Singapura pada tahun lalu juga, Nor Farah, 25, berjaya memenangi perak menerusi kategori Puteri Kelas A, selain menyumbang emas pada Sukan SEA Kemboja 2023, baru-baru ini.

Nor Farah berkata, walaupun sudah bergelar olahragawati, beliau tetap terus berusaha untuk memantapkan lagi prestasi bagi melakar lebih banyak kejayaan.

“Saya tidak mahu leka dengan apa yang dicapai sekarang selain akan terus berusaha agar dapat mengekalkan momentum untuk mendapat emas dalam kejohanan besar akan datang,” katanya.

Selain piala dan sijil, Andre dan Nor Farah turut menerima wang tunai RM10,000.

Sementara itu, anugerah olahragawan dan olahragawati paralimpik Sabah masing-masing dimenangi atlet olahraga, Wong Kar Gee dan atlet renang, Brendda Anellia Larry.

Atlet pelayaran, Muhammad Asnawi Iqbal Adam dan perenang Loo Yie Bing pula masing-masing dianugerahkan olahragawan dan olahragawati harapan.

– BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427