Anak autisme putus cuping telinga digigit kuda ketika lawat agrofarm

Estimate Reading Time: 2 minutes

SEREMBAN: Percutian sebuah keluarga bertukar tragedi apabila telinga anak autisme mereka yang berusia enam tahun putus digigit kuda di sebuah ladang agro, di sini.

Kejadian berlaku kira-kira jam 6 petang 19 Januari lalu, namun video mengenai kejadian itu mula tular dua hari lalu selepas dimuat naik bapa kanak-kanak berkenaan.

Suhaimi Mohd Rafi, 31, berkata dia bersama isteri dan anaknya itu dari Kemaman, Terengganu bercuti ke Seremban selepas selesai urusan di ibu negara pada 19 Januari lalu.
“Ketika berada di agrofarm itu, anak saya mahu melihat dan bergambar dengan kuda dan penjaga kuda memaklumkan ia boleh ditunggang dengan bayaran tiket.
“Saya benarkan anak menunggang kuda sambil dikawal penjaga. Sebaik selesai, penjaga kandang memanggil kami untuk bergambar dalam kawasan berpagar tempat menunggang. Kami bersetuju dan bergambar bersama isteri.

“Anak yang teruja mendekati kawasan kandang di kawasan berpagar itu dan minta saya mengambil gambar serta video. Secara tiba-tiba seekor kuda yang berada dekat dengannya menggigit telinga anak.

“Dalam masa sama, kuda itu turut menghantuk kepala anak dan terkena pada besi menyebabkan kepalanya turut cedera, manakala cuping telinga kiri terputus,” katanya.

Dalam keadaan panik, katanya dia membawa anak ke hospital swasta bagi mendapatkan rawatan dan tidak lama kemudian seorang wakil daripada agrofarm berkenaan tiba.

“Sebelum itu, saya ada hubungi pemilik agrofarm berkenaan, namun lelaki berkenaan bercakap secara kasar sedangkan kami dalam keadaan sedih dan marah.

“Nasib baik wakilnya iaitu seorang wanita menenangkan kami dan berjanji akan membayar pampasan. Anak menjalani pembedahan pada malam itu sebelum selesai kira-kira jam 1 pagi,” katanya.

Katanya, pada hari ketiga anak dibenarkan keluar wad dan dia cuba hubungi pemilik agrofarm terbabit, namun gagal dan lelaki itu hanya berhubung melalui WhatsApp sahaja.

“Kos rawatan RM10,400 dan ditanggung pihak insurans. Selepas berbincang dengan peguam, saya dinasihatkan supaya mendapatkan pampasan sebanyak RM5,000.

“Bagaimanapun, pihak agrofarm memaklumkan hanya mampu membayar sebanyak RM500 sahaja. Saya sangat kesal dengan pihak agrofarm ini kerana sehingga kini mereka belum bayar satu sen pun sedang sudah berjanji,” katanya.

Suhaimi berkata, anak yang mempunyai masalah austisme kini dalam keadaan stabil dan telinganya selamat disambung, namun masih dalam keadaan trauma.

“Ada yang menyalahkan saya kerana membenarkan anak mendekati kuda. Sebelum masuk ke kawasan berpagar itu, pekerja di situ memang benarkan kami untuk masuk dan anggap ia selamat,” katanya.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5464