Zoo Negara berdepan krisis kewangan jika PKP dilanjut

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Zoo Negara dijangka berdepan krisis kewangan jika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 18 Februari ini dilanjutkan.

Timbalan Presiden Zoo Negara, Rosly@Rahmat Ahmat Lana, berkata walaupun mengalami kemerosotan pendapatan apabila tidak dibuka kepada pengunjung sepanjang PKP, pihaknya masih perlu menanggung kos sehingga RM1 juta sebulan.

Kos operasi itu, katanya, meliputi beberapa perbelanjaan, termasuk bagi penyediaan makanan untuk haiwan dan membayar gaji kakitangan.

“Bagaimanapun, setakat ini tabung kecemasan kewangan Zoo Negara masih boleh bertahan sehingga April depan dan kami tentunya akan melakukan sesuatu bagi meningkatkan pendapatan.

“Walaupun berjimat cermat, pihak zoo tentunya akan berdepan masalah kewangan jika tempoh PKP dilanjutkan dan saya berharap ia tidak berlaku.

“Penting untuk kami buka semula Zoo Negara untuk kunjungan orang ramai memandangkan hasil pendapatan menerusi jualan tiket dapat menampung kos operasi,” katanya ketika dihubungi BH hari ini.

Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) sebelum ini menyalurkan Dana Prihatin Kebajikan Hidupan Liar sebanyak RM1.3 juta kepada Zoo Negara.

Menterinya, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, dilaporkan berkata, dana yang disalurkan bertujuan membantu menampung kos menyediakan bekalan makanan kepada hidupan liar bagi menghadapi kesan pandemik COVID-19.

KeTSA juga, katanya, sudah melaksanakan beberapa tindakan jangka pendek bagi memastikan kebajikan hidupan liar di semua Zoo dan Pameran Tetap (ZPT) terus terpelihara.

Rosly berkata, Zoo Negara sempat dibuka beberapa minggu untuk kunjungan ramai pada 18 Disember tahun lalu, sebelum ditutup semula susulan pelaksanaan PKP kedua sejak pada 13 Januari.

“Meskipun hanya 1,250 pengunjung dibenarkan berada di zoo pada satu-satu masa, namun had mengikut prosedur operasi standard (SOP) itu tidak menghalang orang ramai daripada membawa keluarga mengunjungi Zoo Negara.

“Kunjungan orang ramai memang sangat menggalakkan sepanjang beberapa minggu itu, malah barisan menunggu juga panjang dan kami berharap sokongan ini akan berterusan,” katanya.

-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427