Zii Jia harus manfaatkan All England 2021 untuk cari rentak – Chong Wei

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR, 12 Mac —  Kejohanan All England 2021 yang akan bermula di Utilita Arena Birmingham pada Rabu depan, menjadi peluang terbaik untuk perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia mendapatkan semula rentaknya selepas mempamerkan prestasi buruk pada beberapa kejohanan sebelum ini.

Legenda badminton tanah air Datuk Lee Chong Wei berkata amat penting bagi pemain perseorangan utama negara itu melupakan kekecewaan pada awal tahun ini dan memanfaatkan kejohanan badminton tertua di dunia tersebut untuk memulihkan semangat bagi mendepani pertandingan lain termasuk Olimpik Tokyo sekiranya beliau layak ke temasya sukan berkenaan pada Julai ini.

“Memang tidak mudah kerana saya pernah melaluinya… saya pernah hilang keyakinan semasa mengharungi beberapa kejohanan namun saya berjaya mengatasinya dan kembali pulih.

“Saya harap beliau dapat belajar menangani tekanan,” kata juara All England sebanyak empat kali itu kepada Bernama hari ini.

Zii Jia yang merupakan pemain nombor tiga dunia, memulakan 2021 dengan langkah kiri apabila kecundang pada peringkat suku akhir di tangan pilihan kedua Kejohanan Terbuka Thailand Yonex, Chou Tien Chen dari Taiwan.

Beliau kemudian tersingkir seawal pusingan pertama selepas tewas kepada pemain India, Sameer Verman pada Kejohanan Terbuka Thailand Toyota, juga pada Januari.

Prestasi buruk terus menghantui Zii Jia apabila beliau kalah kesemua tiga perlawanan dalam pusingan akhir Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia, juga pada bulan sama, dan terbaharu pada Sabtu lepas, beliau disingkirkan oleh pemain pilihan kelapan Kunlavut Vitidsarn dari Thailand pada Terbuka Swiss 2021 dengan catatan 18-21 dan 10-21.

Pemain pilihan keenam All England 2021 itu dijadual memulakan kempennya menentang pemain Kanada, Brian Yang pada kejohanan yang akan berlangsung dari 17 hingga 21 Mac ini.

Sementara itu, Chong Wei menggesa peminat agar bersikap lebih realistik dan memberikan lebih banyak masa kepada pemain berusia 22 tahun tersebut untuk membuktikan kemampuan dirinya memandangkan perjalanan Zii Jia dalam dunia badminton masih panjang.

Pada masa sama, pemenang pingat perak Olimpik sebanyak tiga kali itu mengingatkan pemain lain agar tidak mengambil mudah kejohanan All England sekalipun pertandingan tersebut tidak menawarkan mata kelayakan ke Olimpik Tokyo.

“All England merupakan medan pertarungan ramai pemain handal,” katanya.

— BERNAMA

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427