KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia mungkin membuat keputusan menarik dari daripada Terbuka Perancis, esok, selepas menunjukkan prestasi memberangsangkan pada dua kejohanan sebelum ini.
Zii Jia yang meraih gelaran di Terbuka Artik minggu lalu sebelum muncul naib juara di Terbuka Denmark semalam memberi bayangan yang keadaan badannya sudah mula keletihan.
“Jujurnya, saya masih lagi 50-50 untuk menyertai Terbuka Perancis, sebab ia sudah memasuki minggu ketiga (berturut-turut) dan badan saya sudah mula keletihan,” katanya yang tewas di tangan pemain dari China, Weng Hong Yang 12-21, 6-21 dalam tempoh 33 minit pada aksi final Terbuka Denmark, semalam.
Zii Jia begitupun berkata, dia akan membincangkan perkara berkenaan dengan pasukannya terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.
“Selepas ini ada Masters China dan Jepun, dua lagi kejohanan besar. Jadi saya harus membuat keputusan dengan tepat,” katanya yang mengambil kekalahan di tangan Hong Yang dengan positif.
“Saya akan membuang jauh segala-galanya yang negatif dan mengambil perkara positif. Salah satu daripadanya, saya mula berasa lebih yakin dengan corak permainan saya. Saya akan cuba menambah usaha lagi dan menjadi lebih konsisten.”
Untuk rekod, pertemuan dengan Hong Yang adalah yang keempat dan kekalahan semalam adalah yang ketiga buat Zii Jia di tangan pemain di ranking ke-22 dunia itu.
– BeritaHarian